Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 16 OGOS 2022 : Usaha menyemarakkan bulan kemerdekaan diteruskan dengan Program Kembara Merdeka dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2022 peringkat Daerah Pekan, semalam.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pekan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Pekan ini disertai kira-kira 40 buah kenderaan.
Lebih 100 Jalur Gemilang juga diedarkan kepada orang ramai bagi bersama-sama menggalakkan usaha mengibarkan bendera negara terutamanya pada bulan bersejarah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, masih ramai yang tidak mengambil inisiatif mengibarkan bendera di premis atau kediaman masing-masing walaupun pada sambutan bulan kebangsaan.
“Kita dapat lihat, kalau kerajaan tidak membuat desakan, kurang syarikat swasta, kilang-kilang atau pengusaha kedai mengibarkan Jalur Gemilang di premis mereka dengan sukarela.
“Seharusnya sikap mengibar bendera itu disemai dan dijadikan satu budaya setiap kali menjelang sambutan bulan kemerdekaan tanpa perlu menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan konvoi Kembara Merdeka dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2022 peringkat Daerah Pekan di Dataran Majlis Daerah Pekan, di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali, Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli, Pegawai Penerangan Daerah Pekan, Encik Zulkifli Khalid, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Pekan, Tuan Asmarawati Tuan Nor dan Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Tuan Haji Mohd Razali Mustafar.
Dalam pada itu, beliau berharap agar sambutan bulan bersejarah ini bukan hanya bertujuan untuk bersuka ria dan bergembira tetapi ia perlu dihayati secara mendalam dan mengambil iktibar di atas segala pengajaran yang dilalui generasi terdahulu.
“Pada zaman serba moden dan mencabar kini, pelbagai maklumat mampu kita peroleh di hujung jari sahaja, maka terutamanya kepada golongan belia janganlah malas untuk mengambil tahu mengenai sejarah penting negara.
“Jangan terlalu leka dengan anasir-anasir negatif yang bertujuan untuk memecahbelah perpaduan yang dibina kita sejak dahulu hanya kerana sifat dangkal dan tidak mahu menilai sesuatu perkara secarta rasional dan bijak,” katanya. -PAHANGMEDIA