Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 14 OGOS 2022 : “Tak sangka Kerajaan Pahang ambil berat akan kami pesara-pesara ini,” ujar penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 di sini.
Menurut Encik Abu Atoi, 62, yang merupakan pesara polis Senoi Praaq berkata dia merasa amat gembira diatas pemberian dan tanda ingatan Kerajaan Pahang ini.
“Saya merasa amat gembira sekali kerana macam kami pesara polis ini, pihak Kerajaan Pahang tetap ambil berat soal kami.

“Rasa bertambah gembira bila hari ini dapat bertentang mata dengan YAB Menteri Besar Pahang, dulu kita tengok dari jauh saja tak sangka dapat peluang berjumpa, rasa terharu jugalah,” katanya yang tinggal di Pos Telanok.
Beliau sebelum itu menerima sumbangan BBP daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2, Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP), Surat Tawaran Skim Tanah Rakyat (STR) Ringlet, dan Suratan Hak Milik Skim Tanah Rakyat (STR) Desa Anggerik di Dataran Pusat Komuniti MDCH, Lembah Bertam di sini.
Encik Abu yang telah berkhidmat selama 30 tahun turut berterima kasih kepada Kerajaan Pahang diatas pemberian BPP ini.
“Terima kasih banyak kepada Kerajaan Pahang dan Menteri Besar Pahang diatas bantuan yang diberikan ini. Saya harap bantuan dan ingatan daripada Kerajaan Pahang ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Saya bercadang untuk guna bantuan yang diterima ini untuk anak-anak, belanja mereka sikit,” katanya.
Sementara itu, pemandu teksi, Encik M. Periswami, 65, berkata dia merasa gembira dengan bantuan yang diberikan Kerajaan Pahang ini memandangkan pendapatan hampir keseluruhan pemandu teksi di Cameron Highlands terjejas terus akibat COVID-19.

“Rasa seronok dapat bantuan ini kerana hampir dua tahun COVID-19 pendapatan kami semua memang (terjejas) teruk di sini.
“Terima kasih Kerajaan Pahang banyak tolong kami (pemandu teksi), lagi-lagi bila Menteri Besar Pahang datang bagi sendiri dekat tangan hari ini,” katanya yang telah 43 tahun membawa teksi.
Seorang lagi penerima BPP kategori penjaja, Ramlah Che Ree, 54, yang berniaga pisang goreng melahirkan perasaan teruja dengan bantuan yang diterima ini.
“Rasa seronok, gembira bila dapat bantuan (BPP) ini sebab boleh saya guna untuk moda pernigaan dan dapat tambah sedikit sebanyak pendapatan.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy yang bagi bantuan ini kepada saya dan rakyat di Pahang ini,” katanya.
Seramai 489 penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 melibatkan kategori pesara polis dan tentera, pemandu teksi, ibu tunggal, dan penjaja harian.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor; Pegawai Daerah Cameron Highlands, YBhg. Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Cameron Highlands, YBhg. Encik Azmil Hadid Maznan. -PAHANGMEDIA