Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 14 OGOS 2022 : Kerajaan Negeri Pahang sedang membina 12 buah rumah baharu bagi tujuan penempatan semula penduduk yang tinggal di perumahan PPRT Desa Al-Ayubi, Kampung Temai Tengah, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, rumah-rumah tersebut di bina di lokasi baru iaitu di Kampung Temai Hulu bersebelahan dengan Pusat Pemindahan Banjir.
“Seramai 12 keluarga yang saban tahun berdepan masalah banjir akan dipindahkan ke sini apabila projek siap sepenuhnya. Jalan menuju ke kawasan rumah ini juga diturap dan ditinggikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau sebelum itu beliau bersama Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli, Penghulu, Ketua Kampung telah meninjau progres projek perumahan ini.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar berkata, beliau telah berbincang bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan situasi yang dihadapi 12 keluarga yang mana setiap tahun pasti terkesan banjir akibat keadaan bentuk muka bumi yang berada di kawasan rendah.
“Justeru YAB Menteri Besar telah meluluskan peruntukan Kerajaan Negeri dan Sumbangan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjumlah keseluruhan RM1.2 Juta untuk membina 12 buah rumah baru bertiang, tiga bilik tidur, bilik air, ruang tamu, dapur dan tangga di bahagian hadapan dan belakang.
“Inilah salah satu lagi usaha Kerajaan BN Pahang untuk membela nasib rakyat. Saya berharap projek ini dilaksanakan sebaik mungkin dan siap seperti dirancang. Semoga 12 keluarga yang menghuni rumah PPRT selama ini akan menikmati kehidupan yang lebih selesa di rumah baharu dan tidak lagi dibebani masalah banjir saban tahun,” katanya. – PAHANGMEDIA