Yang Dipertua TERATAI, Datin Sri Dato' Burhah bersama Presiden SABATI, Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang pada majlis makan malam lawatan kunjungan balas ke Negeri Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini

TERATAI, PUSPANITA IKRAR TERUS PERKASA KERJA-KERJA KEBAJIKAN

Oleh : Fairus Mohd

SARAWAK, 14 OGOS 2022 : Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) dan PUSPANITA Cawangan Negeri Pahang sentiasa mencari peluang bagi melaksanakan kerja-kerja amal terutamanya dengan menyantuni golongan yang memerlukan.

Malah ahli-ahli TERATAI sebagai isteri wakil rakyat, mereka memainkan peranan aktif dalam membantu suami selaku barisan pentadbir negeri dengan keperluan dan tuntutan tugas mereka iaitu berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat.

Yang Dipertuanya, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed berkata, tuntutan berkenaan menjadikan TERATAI sebagai perantara Kerajaan Negeri dan rakyat melalui program turun padang yang ada kalanya bersama suami membantu masyarakat di kawasan masing-masing.

Yang Dipertua TERATAI, Datin Sri Dato’ Burhah

“Pada fasa pandemik Covid-19, TERATAI tetap berjaya melaksanakan program kebajikan dengan jumlah dana sumbangan yang besar melibatkan 14 buah kawasan Parlimen dan 25 kawasan Dewan Negeri Pahang yang diterajui oleh Kerajaan Barisan Nasional.

“Selain itu, TERATAI juga turut bekerjasama dengan Pejabat Menteri Besar Pahang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang untuk menyumbang RM64,600 kepada Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Ke Arah Kesejahteraan OKU di Cameron Highlands yang mana jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM224,600 sepanjang tahun 2021.

“Baru-baru ini pula TERATAI dan PUSPANITA melalui titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada setiap persatuan kepada Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM), Kuantan bagi tujuan penggantian kelengkapan bayi di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Lawatan Kunjung Balas Ke Negeri Sarawak oleh TERATAI dan PUSPANITA Negeri Pahang di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini.

Turut hadir sama ialah Presiden SABATI, Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Pengerusi PUSPANITA, Datin Sri Kamariah Mohamad dan Presiden 2 SABATI, Dato’ Hajah Dayang Morliah Datuk Haji Awang Daud.

Hadir sama, Timbalan Naib Yang Dipertua 1 TERATAI, Datin Sri Dato’ Khadijah Ibrahim, Naib Yang Dipertua 2 TERATAI, Datin Sri Nor Rasidah @Nor Rashidah Mohamed Rashid serta Setiausaha TERATAI, Datin Norziana Yusoff.

Sementara itu dalam ucapan sama, Datin Sri Dato’ Burhah turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani, ahli-ahli SABATI serta semua yang terlibat di atas kesudian menerima delegasi Pahang di bumi Kenyalang sekaligus memberi peluang mengenali dengan lebih dekat lagi keunikan adat dan budaya Negeri Sarawak. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram