Oleh : Fairus Mohd
SARAWAK, 11 OGOS 2022 : Yang Dipertua Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI), Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed selamat tiba di Sarawak untuk melakukan lawatan kunjungan balas selama tiga hari bermula hari ini.
Ketibaan beliau bersama ahli-ahli TERATAI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pukul 12.45 tengahari disambut oleh isteri Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datin Sri Hajah Baduyah Haji Bujang, isteri Timbalan Premier, Datin Sri Anne Ong serta ahli-ahli Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (Sabati).

Mengikut jadual petang ini, Datin Sri Dato’ Burhah bersama rombongan akan melawat Borneo Cultures Museum di Jalan Tun Abang Haji Openg.
Beliau juga dijadualkan ke Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid dan seterusnya melakukan kunjungan hormat ke atas Pengerusi SABATI di Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) di bangunan Yayasan Sarawak sebelum melawat Akademi Teknologi Warisan dan Gastronomi di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) pada hari esok.
Lawatan diteruskan ke Kampung Budaya Sarawak di Santubong bagi melihat budaya setempat sebelum menyertai perlawanan boling persahabatan melibatkan ahli TERATAI dan SABATI di Megalanes Adventure World Bowling Centre di The King’s Leisure Complex, Kuching pada hari Sabtu.
Rombongan TERATAI yang diketuai beliau kemudiannya diraikan dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Sabah International Convention Centre pada sebelah malam hari sama sebagai melengkapkan jadual kunjungan balas ini. -PAHANGMEDIA