Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar (tengah) menyampaikan Anugerah Ketua Pengarah kepada Ahmad Atif Irsyad Ahmad Zahidi (kanan) pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang bagi tahun 2022 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan, di sini pada 6 Ogos lalu.

676 GRADUAN TERIMA SIJIL PADA MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ KOMUNITI NEGERI PAHANG 2022

KUANTAN, 9 OGOS 2022 – Seramai 676 Graduan menerima Sijil pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang bagi tahun 2022 dan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan, di sini pada 6 Ogos lalu.

Majlis Konvokesyen ini menghimpunkan sebanyak sepuluh (10) buah Kolej Komuniti sekitar Pahang, antaranya Kolej Komuniti Kuantan, Kolej Komuniti Paya Besar, Kolej Komuniti Pekan, Kolej Komuniti Raub, Kolej Komuniti Jerantut, Kolej Komuniti Rompin, Kolej Komuniti Bera, Kolej Komuniti Temerloh, Kolej Komuniti Lipis dan Kolej Komuniti Bentong.

Penerima Anugerah Ketua Pengarah kepada Ahmad Atif Irsyad Ahmad Zahidi (kanan) dan penerima Anugerah Keusahawanan 2022 diberikan kepada Kiasatina Tsara Mohd Jailezemee menunjukkan anugerah yang diterima mereka pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang bagi tahun 2022 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan, di sini pada 6 Ogos lalu.

Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa graduan kolej komuniti mempunyai kebolehpasaran yang tinggi untuk memenuhi peluang kerjaya masa hadapan dan statistik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti adalah tinggi iaitu 94.8 peratus bagi tahun 2021 yang membuktikan bahawa graduan kolej komuniti mendapat tempat dalam pasaran kerjaya dan menjadi pilihan majikan mahupun industri.

Dari aspek keusahawanan pula, Kolej Komuniti Pahang telah mensasarkan seramai 44 orang untuk menjadi usahawan, namun pencapaian sebenar adalah amat memberangsangkan iaitu telah melahirkan 79 orang usahawan dalam kalangan graduan pada tahun 2020 sehingga kini.

Pada Majlis Konvokesyen itu, turut disampaikan beberapa anugerah kepada graduan, antaranya, Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Keusahawanan dan Anugerah Ketua Pengarah.

Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang diberikan kepada 16 orang pelajar dalam kalangan pelajar-pelajar Kolej Komuniti di Negeri Pahang. Penerima anugerah ini merupakan pelajar yang cemerlang dalam akademik sepanjang pengajian mereka.

Manakala, bagi penerima Anugerah Keusahawanan 2022 diberikan kepada Kiasatina Tsara Mohd Jailezemee , 21, merupakan merupakan seorang pelajar daripada Kolej Komuniti Kuantan yang diuji dengan penyakit genetik Talasemia atau penyakit genetik sel darah merah sejak berusia 4 bulan.

Sebahagian 676 graduan Kolej Komuniti di Pahang yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang bagi tahun 2022 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan, pada 6 Ogos lalu.

Tetapi atas sokongan daripada keluarga dan semangat untuk berjaya, Kiasatina Tsara kini aktif menguruskan sebuah Kafe yang dikenali dengan Rasa Kopi yang terletak di tasik KotaSAS Kuantan dan sudah beroperasi hampir 7 bulan dan jumlah pendapatan yang diperolehinya dianggarkan RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.

Menurut bapanya, Mohd Jailezemee, beliau mengakui akan keterbatasan yang dihadapi oleh anaknya dan atas kesedaran tersebut beliau memberikan sepenuh sokongan kepada anaknya untuk menjadi usahawan dengan membuka kafe sendiri.

Anugerah Ketua Pengarah pula dianugerahkan kepada Ahmad Atif Irsyad Ahmad Zahidi, 20, merupakan graduan dari Kolej Komuniti Rompin. Ahmad Atif merupakan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Anak kedua dari 3 orang adik beradik ini, telah menerima Pingat Gangsa Sukan SEA 2022, Juara Keseluruhan dalam Kejohanan Silat Antarabangsa KPM-UTHM 2019 Edisi ke-10, Pingat Emas dalam Kejuaraan Silat Terbuka Antarabangsa Cekak Harimau Malaysia Kali Ke-2 2019 dan Diploma Award (Putra E SUKMA) dalam kejuaraan Silat Terbuka Antarabangsa Cekak Harimau Malaysia Kali-2 2019.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram