YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KERAJAAN PAHANG PATUHI SEGALA SYARAT DAN PROSEDUR BAGI PELAKSANAAN PROJEK PEMBANGUNAN BANDAR AEROANGKASA PAHANG

KUANTAN, 4 OGOS 2022: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha memastikan segala syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dipatuhi, dalam usaha merealisasikan pelaksanaan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang, yang melibatkan komponen pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, dan projek bercampur.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada 15 Julai 2020, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju supaya kajian komprehensif terhadap cadangan pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang dilaksanakan.

Beliau berkata, cadangan projek itu telah dibentangkan dan mendapat perakuan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-39 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri pada 21 Oktober 2021.

Menurut beliau, pembangunan projek tersebut akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, Kuantan, secara usahasama, iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), di mana konsep pembangunan adalah secara Build-Operate-Own (BOO).

Katanya, pengoperasian lapangan terbang itu akan dikendalikan oleh pihak syarikat sepenuhnya melalui cadangan pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad.

“Dalam usaha merealisasikan projek ini, satu garis masa telah ditetapkan bagi jangkaan tempoh pembinaan dan jangkaan mula beroperasi, bagi memastikan semua pemegang taruh (stakeholders) membuat tindakan dan mematuhi semua syarat pembinaan lapangan terbang, sehingga lah mendapat kelulusan Aerodrome Operator Licence (AOL) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).

“Perancangan garis masa ini penting bagi Kerajaan Negeri, kerana projek ini merupakan projek berimpak tinggi selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai National Transit Hub.

“Pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang ini turut mengambil kira faktor hub ekonomi yang lain, kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng, serta berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), serta menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyatan media sebagai maklum balas berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seremban, YB Loke Siew Fook semasa persidangan Dewan Rakyat pada 3 Ogos 2022 berhubung projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pada 1 Mac 2022, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan selaku pemilik tanah, Pahang Corporation Sdn Bhd sebagai Pengurus dan Penasihat Projek, dan Gading Group Berhad selaku Pemaju Utama bagi cadangan pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

Menurut beliau, pemeteraian MoA ini jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang, termasuk berusaha mendapatkan komitmen daripada pemaju utama bagi menjayakan projek tersebut.

“Bagi melaksanakan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan ini, 2 Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara pemaju utama dan rakan strategik pada 6 Julai 2022.

“Pihak pemaju utama sedang dalam proses penyediaan dokumen dan menjalankan kajian yang berkaitan, bagi mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

“Saya amat berharap projek ini mendapat sokongan semua pihak, agar lonjakan ekonomi bukan sahaja diterima oleh Negeri Pahang sahaja tetapi, juga negeri-negeri lain terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram