YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menanam pokok di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS)

70 POKOK DITANAM DI PPSAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 02 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menanam hampir 70 pokok pelbagai jenis di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.

Pengarahnya , YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata program penanaman ini juga adalah salah satu langkah untuk menambah statistik pokok yang ditanam di negeri ini.

“Hari ini kita tanam hampir 70 pokok melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) di Pahang, di mana kita mahukan ia secara simboliknya mengajak penduduk di Dewan Negeri (DN) Yang Berhormat kita, turut terlibat menanam pokok di kawasan masing-masing.

“Dan pokok-pokok yang ditanam ini akan didaftarkan melalui aplikasi Penghijauan Malaysia dalam usaha menyokong Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Penanaman 5 Juta Pokok @Pahang : PPSAS Bersama-sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang Darul Makmur di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KOTASAS, di sini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut beliau lagi, setiap pokok yang ditanam akan diletakkan nama pokok dan info ringkas di kod bar yang akan dilekatkan di pokok berkenaan.

“Apabila telah selesai menanam pokok ini, saru bar code akan diberikan untuk dilekatkan pada pokok. Ia mengandungi nama pokok dan info ringkas yang boleh diimbas.

“Selain itu, gambar pokok yang ditanam juga akan dimuatnaik ke aplikasi tersebut.Dan pokok-pokok yang ditanam ini akan dijaga oleh Unit Landskap,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan meneruskan program penanaman pokok ini lagi dimasa hadapan bagi memastikan negeri ini mencapai jumlah pokok yang disasarkan.

Pokok yang ditanam di tujuh zon penanaman di hadapan PPSAS ini melibatkan spesis landskap, pokok hutan dan pokok buah seperti Meranti Kuantan, Gelam, Sentul, Medang Teja, Pelawan, Bungor, Cempedak, Kedondong, Merawan Siput Jantan, Simpoh Air, Pulai, Tecoma, dan pokok Hujan-hujan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram