YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Program Usahawan Muda Akie Burger Pahang Dengan Kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) di Wisma Sri Pahang

KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM70,000 KEPADA 280 USAHAWAN MUDA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 02 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM70,000 bagi membiayai 280 anak muda di negeri ini untuk menjadi usahawan dengan kerjasama Akie Group Sdn Bhd.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata program yang merupakan julung kali diadakan di negeri ini telah melahirkan 54 orang usahawan muda setakat ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Sehingga hari ini kita telah melahirkan 54 orang usahawan dari seluruh Negeri Pahang yang mana kita mengamalkan konsep keahlian dan sewaan bagi tujuan untuk menjayakan program ini.

“Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan sebanyak RM70,000 bagi membiayai seramai 280 orang usahawan di negeri Pahang. Jadi dalam masa yang singkat ini kita telah berjaya melalui Akie Burger telah berjaya melahirkan 54 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Usahawan Muda Akie Burger Pahang Dengan Kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata pelbagai bantuan turut diberikan kepada para usahawan muda yang berminat bagi memulakan perniagaan mereka .

Tambah beliau lagi, para usahawan muda yang berminat hanya perlu membayar RM250 sahaja sebagai yuran keahlian.

“Mereka dikehendaki mengeluarkan modal sebanyak RM250 sahaja. Jadi ini yuran keahlian dan boleh dikatakan satu pakej istimewa kerana kos dia jika tiada campur tangan Kerajaan, adalah RM11,000. Ini cuma kena bayar RM250 sahaja dan selebihnya Kerajaan Negeri akan tampung.

“Untuk mereka menyertai program ini, kita ada kenakan syarat tertentu, iaitu warganegara Malaysia, anak kelahiran Pahang, yang tinggal di negeri Pahang, berumur 18 hingga 40 tahun, golongan B40, dan tiada pekerjaan tetap, dan yang penting berminat untuk berniaga burger,” katanya.

Beliau turut optimis bahawa program ini akan dapat mencapai sasaran usahawan muda seramai 280 orang tidak lama lagi memandangkan ianya baru sahaja dilancarkan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram