Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 yang bermula dari tahun 2020 hingga penghujung 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, berdasarkan kepada pencapaian semasa semua inisiatif infrastruktur digital di Pahang, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di negeri Pahang telah mencapai 93.59% pada Suku Pertama 2022.
Menurutnya, pencapaian ini telah merekodkan peningkatkan 4.49% daripada 89.1% kadar liputan 4G pada Suku Kedua 2022 sebelum pelaksanaan JENDELA bermula.
“Kadar liputan ini dijangka akan terus meningkat apabila baki semua projek yang sedang dilaksanakan ini siap pada penghujung 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin pada sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di daerah Lipis telah meningkat daripada 69.56 peratus kepada 78.48 peratus.
Jelasnya, kadar liputan ini dijangka akan terus meningkat apabila baki semua projek yang sedang dilaksanakan ini siap pada penghujung 2022. – PAHANGMEDIA