Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 2 OGOS 2022 : Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL kini telah mencapai kemajuan sebanyak 42.37 peratus.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhan kerja pembinaan kini berjalan dengan lancar.
“Saya sendiri telah pun pergi bersama dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri bersama dengan CEO MRL dari sempadan Terengganu – Pahang sehinggalah sampai ke sempadan Pahang – Selangor, kita dah pergi tengok kemajuan kerja dan nampaknya Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Lee Ah Wong bagi menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman pada sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini nilai kerja yang telah diberikan kepada syarikat tempatan di Pahang adalah berjumlah RM187 juta melibatkan 30 syarikat tempatan. – PAHANGMEDIA