KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bersama paduka anakanda-anakanda baginda berdua termasuk YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah (dua dari kiri) pada Jamuan Negeri sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 KDYMM Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.

YAM TENGKU AHMAD ISMAIL MU’ADZAM SHAH DIKURNIAKAN GELARAN YAM TENGKU PANGLIMA PERANG

PEKAN, 1 OGOS 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan gelaran baharu kepada anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah iaitu Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang.

Gelaran baharu itu diumumkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Baginda bertitah, penggunaan gelaran tersebut berkuatkuasa pada hari ini.

YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“YAM Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah merupakan cicinda kepada Tengku Panglima Perang yang kedua iaitu YAM Almarhum Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah.

“Berdasarkan sejarah, YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad pernah memegang jawatan sebagai Pelatih Pegawai Melayu bagi Negeri Pahang pada tahun 1918, Penolong Pesuruhjaya Polis Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1920, Juruiring Khas kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pada tahun 1924, Penolong Pesuruhjaya Polis Terengganu pada tahun 1925, Setiausaha Melayu pada tahun 1934, Ahli Mesyuarat Negeri Pahang pada tahun 1937, Menteri Besar Terengganu pada tahun 1948 dan Menteri Besar Pahang pada tahun 1951,” titah baginda.

Baginda bertitah, semoga dengan kurniaan ini, YAM Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah yang bergelar Tengku Panglima Perang akan mencontohi YAM Almarhum Tengku Muhammad yang telah banyak berjasa kepada negara dan Negeri Pahang khususnya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Share this: