Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah wakil Allahyarham Nat Kilau iaitu cucu beliau, Encik Mohd Alhamdi Abu Bakar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah

MAT KILAU TOKOH MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 30 JULAI 2022 : Pahlawan terbilang Pahang, Mat Kilau atau nama sebenarnya Muhammad bin Khatib Rasu Abd Salam dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1444 Hijrah hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada cucu Allahyarham, Encik Mohd Alhamdi Abu Bakar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan YAM Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Cucu Mat Kilau, Encik Mohd Alhamdi Abu Bakar pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Sementara itu, Encik Mohd Alhamdi ketika ditemui media berkata, anugerah ini diharapkan dapat membangkitkan lagi perasaan syiar Islam di negara ini.

“Pertama saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada Pemangku Raja Pahang yang sudi menganugerahkan anugerah ini kepada arwah Mat Kilau dan saya mewakili keluarga untuk mengambil anugerah ini kerana ibu dan bapa saya menjaga Mat Kilau hampir 30 tahun.

“Alhamdulillah bagi saya ini satu anugerah yang membangkitkan lagi semangat keluarga kami terutama kepada orang Melayu untuk mengembangkan lagi dan meningkatkan lagi syiar Islam.

“Mat Kilau ini berjuang atas dasar agama, beliau menentang Inggeris bersama ayahnya Tok Gajah dan Datuk Bahaman ialah berlandaskan agama. Apabila kuasa penjajah ingin memasuki Negeri Pahang ketika itu, dan mengenalkan sistem pemerintahan Inggeris maka Mat Kilau dan rakan-rakannya bangkit bagi menegakkan syiar Islam di negeri Pahang,” katanya.

Menurut beliau, Allahyarham Mat Kilau yang digelar Aki Kilau juga mengingatkan keluarga supaya mengamalkan zikir dan surah Al-Ikhlas sebagai amalan.

“Amalan ini juga dipesan Aki Kilau supaya di amalkan setiap hari dan ia juga menjadi amalan seni silat Tapak Suci Warisan Mat Kilau,” katanya.

Menerusi penganugerahan itu, tokoh pejuang ini telah menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000, plak penghargaan dan sijil. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram