Oleh : Fansurina Abdullah
PEKAN, 29 JULAI 2022 : Menumpang tinggal di rumah ibu lebih 15 tahun lalu membuatkan Puan Nor Mardiha Abdul Basir, 43, memasang impian untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa bersama suami dan tiga anaknya.
Justeru, pemberian rumah secara percuma menerusi Rumah Rakyat Pahang (RRP) oleh Kerajaan Negeri memberikan cahaya buat Puan Nor Mardiha sekeluarga dapat merealisasikan hasratnya untuk memiliki rumah sendiri.

“Alhamdulillah bersyukur sebab memang sekarang ni kalau nak rumah pun payah kan, jadi Alhamdulillah memang bersyukur. Terima kasih kepada Kerajaan Pahang yang menyediakan rumah percuma untuk rakyat di Negeri Pahang,” katanya.
Puan Nor Mardiha telah menerima kunci rumahnya daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud di Kampung Ganchong, Pekan.
Pada majlis penyerahan kunci rumah itu, Puan Nor Mardiha turut menerima sumbangan peralatan barangan elektrik bernilai RM2,000 daripada Pejabat Daerah dan Tanah Pekan.
Kerajaan Pahang telah memperkenalkan RRP pada tahun 2020 dengan 98 buah rumah diberikan secara percuma kepada rakyat dan kini jumlah penerima ditambah menjadikan seramai 266 penerima bagi tahun 2022 di seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan RM19.95 juta di mana kos pembinaan setiap rumah telah dinaikkan kepada RM75,000. – PAHANGMEDIA