YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada seorang penerima dalam Program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Veteran Tentera, Bekas Polis, Ibu Tunggal dan Penjaja Dewan Negeri (DN) Jelai di Laman Sejahtera Jelai, di Lipis

KERAJAAN PAHANG AMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA SELESAI MASALAH AIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 28 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang telah mengambil tindakan bagi mengatasi segala permasalahan berkaitan bekalan air di seluruh negeri ini selepas masalah berkenaan dikenalpasti dalam perjumpaan yang dilaksanakan oleh YAB Menteri Besar bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) setiap daerah.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini Kerajaan Pahang telah mengambil tindakan sewajarnya, namun tempoh bagi semua masalah berkaitan isu bekalan air ini diselesaikan adalah berbeza-beza.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Ini adalah ekoran dari Sidang Dewan (Negeri) yang terdahulu dimana saya telah bercakap di dalam Dewan (Negeri) saya akan pergi ke semua daerah untuk berjumpa dengan jurutera daerah PAIP untuk bertanyakan isu-isu dan permasalahan semasa dan apakah tindakan jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

“Semua daerah telah saya temui dan kita telahpun mengenalpasti punca-punca masalah dan tindakan telah pun diambil. Hanya sekarang ini hanya menunggu masa sahaja untuk ianya dibaikpulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Veteran Tentera, Bekas Polis, Ibu Tunggal dan Penjaja Dewan Negeri (DN) Jelai di Laman Sejahtera Jelai, di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong; Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Penerima Bantuan Prihatin Pahang

Menurut beliau lagi, setakat ini masalah bekalan air di daerah Maran adalah yang paling kurang berbanding daerah lain dan dijangka dapat diselesaikan pada 2024.

“Setelah saya berjumpa dengan semua daerah di Pahang ini, saya dapati daerah Maran adalah daerah yang paling kurang masalah di mana masalah tidak sebesar tempat-tempat lain. InsyaAllah paling-paling lewat dijangka pada 2024, lebih kurang 90 peratus isu permasalahan air di Maran akan dapat diselesaikan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram