Puan Siti Zaharah Yaakob, 69, bersama anaknya telah menerima kunci rumah mereka yang telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Daerah Pekan, Puan Siti Sarah Omar Zaki di kediamannya, di Kampung Jaya Gading, Kuantan.

WARGA EMAS TERHARU TERIMA RRP, TIDAK PERNAH TERFIKIR MAMPU MILIKI RUMAH SENDIRI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 28 JULAI 2022 : Seorang warga emas, Puan Siti Zaharah Yaakob, 69, berasa sangat terharu apabila menerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma.

Menurutnya, pemberian RRP itu merupakan rezeki yang tidak terduga oleh beliau dan anak-anak selepas hilang tempat bergantung sejak enam tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia.

Puan Siti Zaharah yang kini tinggal bersama anak-anaknya mengharap pendapatan bulanan dengan bekerja kampung dan hanya sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ yang menyifatkan memiliki rumah sendiri bagaikan mustahil.

Namun dia kini boleh menarik nafas lega apabila memilik rumah sendiri yang lebih selesa dan merancang untuk tinggal bersama anak dan cucu-cucunya.

Jika sebelum ini dia terpaksa berhimpit-himpit tinggal di bawah bumbung yang sama bersama 14 ahli keluarga lain daripada empat keluarga, kini dia dapat menikmati keselesaan rumah dengan kemudahan yang lebih baik.

“Makcik nak ucap terima kasihlah kepada Kerajaan Pahang yang beri rumah kepada saya. Saya berasa sedih la sikit dan berasa lega kerana dapat rumah ni,” katanya.

Puan Siti Zaharah Yaakob, 69.

Beliau yang telah menetap di kawasan tersebut selama 46 tahun bersyukur dengan keprihatinan Kerajaan Pahang yang memberikan rumah percuma kepada penerima sebagai manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Puan Siti Zaharah bersama anaknya telah menerima kunci rumah mereka yang telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Daerah Pekan, Puan Siti Sarah Omar Zaki di kediamannya, di Kampung Jaya Gading, Kuantan.

Kerajaan Pahang telah memperkenalkan RRP pada tahun 2020 dengan 98 buah rumah diberikan secara percuma kepada rakyat dan kini jumlah penerima ditambah menjadikan seramai 266 penerima bagi tahun 2022 di seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan RM19.95 juta di mana kos pembinaan setiap rumah telah dinaikkan kepada RM75,000 kerana kenaikan harga bahan binaan semasa. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram