Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika merasmikan Program Open Source Intelligence (OSINT) anjuran SKMM dengan kerjasama PDRM di Swissbell Hotel di Kuantan

KERAJAAN PAHANG AMBIL BERAT DAN SERIUS TANGANI SALAH LAKU MEDIA DALAM TALIAN

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 28 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang menyambut baik dan menyokong Program Open Source Intelligence (OSINT) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini dalam meningkatkan kepakaran serta perkhidmatan agensi masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, program ini sangat penting kerana berdasarkan statistik terkini daripada pihak SKMM menunjukkan peningkatan aduan dalam media sosial.

“Berdasarkan laporan di seluruh negara, sehingga Jun 2022 sebanyak 11,556 aduan telah direkodkan dimana daripada jumlah itu, 341 adalah aduan di Pahang. Sudah tentu peningkatan aduan ini membimbangkan kita semua.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

“Malah perkara ini telah saya maklumkan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail dimana beliau meminta agar satu perbincangan dapat diadakan diantara pihak PDRM, SKMM dan wakil-wakil dari Kerajaan Pahang bagi membincangkan solusi berkenaan isu ini serta menetapkan satu mekanisma atau langkah yang tepat untuk dibuat aduan.

“Malah beliau juga meminta agar maklumat hasil perbincangan itu nanti disampaikan kepada rakyat Pahang terutama mereka yang terkesan penipuan dalam talian ini mengetahui langkah tepat untuk membuat aduan. Ini jelas membuktikan Kerajaan Pahang amat mengambil berat dan serius menangani salah laku yang berlaku di media baharu dalam talian,” katanya.

Beliau sebelum ini merasmikan Program Open Source Intelligence (OSINT) anjuran SKMM dengan kerjasama PDRM di Swissbell Hotel di sini.

Melalui program selama dua hari ini, pasukan Polis Pahang diberi pendedahan tentang teknik mencari dan merangkaikan maklumat daripada sumber terbuka di internet.

Melalui teknik ini dengan aplikasi tertentu, ia dapat membantu dan meningkatkan kecekapan pegawai penyiasat PDRM menjalankan tugas siasatan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram