Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge di Kuantan 188, di sini.

PAHANG ANJUR SUKAN KANU ANTARABANGSA TERBESAR DI ASIA TENGGARA SEPTEMBER INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 27 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang akan menganjurkan acara sukan berkanu antarabangsa terbesar di Asia Tenggara pada September ini melibatkan jarak perlumbaan sepanjang 74 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata acara perlumbaan ini akan melibatkan lima buah pantai di di tiga daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge di Kuantan 188, di sini.

“Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan satu acara sukan antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge, yang bakal berlangsung pada 7 hingga 11 September 2022.

“Lima pantai paling popular di Negeri Pahang iaitu Pantai Hiburan, Rompin; Pantai Lagenda, Pekan; Pantai Balok, Pantai Cherating, dan Pantai Teluk Chempedak di Kuantan bakal dijadikan venue untuk acara perlumbaan kanu yang terbesar pernah diadakan di Malaysia, dan pertama kali dianjurkan di rantau Asia Tenggara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili YAB Menteri Besar Pahang pada Majlis Pelancaran Pahang Ocean Paddle International Challenge di Kuantan 188, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Stagemaker Sdn. Bhd., Encik Emir Abd Jalal; dan Presiden Persatuan Sukan Kanu Negeri Pahang, Encik Mohd. Nazir Mohamad Sakari.

Beliau berkata penganjuran acara ini dibuat bagi menyambung kempen pelancongan kerajaan negeri bertemakan This Is Pahang -Unlimited yang dilancarkan sebelum ini.

“Penganjuran acara ini dianggap antara langkah drastik Kerajaan Negeri di dalam pemulihan industri pelancongan negeri. Kita nak mempromosikan pantai yang kita ada sejauh 290 kilometer.

“Negeri Pahang perlu kembali berada di mata dunia, dan salah satu cara terbaik adalah dengan memperagakan satu acara sukan bertaraf antarabangsa, dengan liputan media dan penyiaran televisyen yang unik, dan dapat ditonton di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pengajuran sukan kanu di negeri ini juga sebagai pengenalan pantai di negeri ini sebagai lokasi baharu bagi sukan ini kepada penggemar sukan ini.

“Para peserta akan beraksi sejauh 14 kilometer bagi empat lokasi awal dan 18 kilometer bagi perlumbaan terakhir di Pantai Teluk Chempedak.

“Dan laluan Pantai Teluk Chempedak juga merupakan laluan yang paling mencabar selain faktor jarak perlumbaan iaitu para peserta aka merentas laluan air masin dan air tawar,” katanya.

Tambah beliau lagi, perlumbaan ini juga dijangka akan disertai oleh hampir 100 peserta melibatkan 80 peratus peserta tempatan dan bakinya melibatkan peserta luar negara dan menawarkan hadiah wang tunai RM300,000.

“Acara gandingan oleh Stagemaker Sdn Bhd dan Persatuan Sukan Kanu Negeri Pahang ini juga telah berjaya menarik penyertaan antarabangsa yang sangat membanggakan, di mana dari segi teknikal, bekas juara dunia 12 kali Ocean Canoe Racing, Mr Oscar Chalupsky dari Afrika Selatan telah mengesahkan kehadiran sebagai Race Director.

“Selain itu, pasangan suami isteri bekas juara dunia Ocean Canoe Racing dari Australia, Robert Jeckinson dan Julie Jeckinson juga akan menjadi penasihat teknikal acara.

“Yang lebih membanggakan bagi acara yang buat kali pertama diadakan ini adalah dari segi penyertaan atlet bertaraf dunia, di mana setakat ini, dua bekas juara dan naib juara dunia Ocean Canoe Racing akan mengetuai cabaran di Pahang September ini. Bagi kategori lelaki, pendayung Portugal, Bernardo Pereira, Juara Dunia Ocean Racing 2021 dan pendayung Australia, Mackenzie Hynard, nombor dua dunia Ocean Racing 2017 telah mengesahkan penyertaan mereka.

“Bagi kategori wanita, peserta Australia yang menduduki ranking dunia, Danika Mowthem dan Rebecca Cole juga telah mengesahkan penyertaan mereka. Kehadiran pendayung-pendayung berstatus inilah yang amat diperlukan bagi menarik lebih ramai lagi pendayung bertaraf dunia untuk beraksi di nanti,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram