KUANTAN, 27 JULAI 2022 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang menawarkan diskaun 40 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Pahang kepada peminjam-peminjam bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan Yayasan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang berkata, diskaun ini akan diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan bayaran secara penuh ke atas baki pinjaman termasuk baki caj-caj lain bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2022.
“Langkah ini merupakan tanda kerprihatinan Kerajaan Negeri Pahang bagi membantu para peminjam menyelesaikan baki pinjaman sekali gus membolehkan lebih ramai lagi anak-anak Pahang berpeluang membuat pinjaman dengan Yayasan Pahang bagi mendapatkan akses pendidikan yang sempurna serta melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Langkah ini juga dilaksanakan bagi membantu sebahagian besar rakyat termasuk peminjam-peminjam yang terkesan akibat penularan COVID-19 sejak 2 tahun lalu serta ekoran peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Justeru beliau berharap agar para peminjam memanfaatkan penawaran ini sebaik mungkin dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik serta bebas daripada bebanan hutang.
Untuk makluman, pada tahun 2021, Yayasan Pahang pernah menawarkan pemberian diskaun 20 peratus dan sepanjang tempoh tersebut, seramai 608 peminjam telah menyelesaikan baki hutang dengan implikasi rebat sebanyak RM719,259.26 serta pengurangan pinjaman sebanyak RM3.6 juta.
Sejak penubuhannya sehingga kini (1982 – 2021), Yayasan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM1.4 bilion untuk pinjaman pendidikan bagi manfaat 1.684 juta orang penerima di seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA