Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAM) pada Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama (MK AB).

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN RASMI KEM AL-SULTAN ABDULLAH MARKAS ANGKATAN BERSAMA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 JULAI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini berkenan bercemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama (MK AB) di sini.

Seri Paduka Baginda yang tiba pada 10.50 pagi turut diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menandatangani plak penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama yang dinamakan sebagai Kem Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka Baginda kemudiannya menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAM) terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.

Seterusnya, Baginda berkenan menyaksikan gimik acara pelancaran melibatkan sebuah pesawat helikopter EC725, dua buah kenderaan FFR GK MK1 dan dua buah motorsikal daripada gabungan aset serta aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seri Paduka Baginda seterusnya berkenan menandatangani plak penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama yang dinamakan sebagai Kem Al-Sultan Abdullah.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi MK AB di Pusat Operasi Bersama (POB) serta turut berkenan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas operasi PASIR di Sabah serta di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj. Yazid Hj. Arshad.

Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama dinamakan sempena nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini, telah dirancang pembinaannya sejak 2007 dan pemilihan lokasi di kawasan seluas 39.56 hektar di Jalan Panching.

Projek pembinaan markas yang menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan di dalam ATM ini siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 dan beroperasi pada Julai 2019. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram