Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 JULAI 2022 : Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah melepaskan hampir 300,000 benih udang galah di empat lokasi di sekitar Daerah Rompin dan Kuantan minggu ini.
Pengarahnya, Encik Abdullah Jaafar berkata, aktiviti tahunan ini bertujuan menambah stok sumber perikanan sungai khususnya di Rompin yang terkenal dengan sumber udang galah bernilai tinggi.
“Pelepasan benih dan induk udang bernilai tinggi tersebut akan memperkayakan sumber perikanan sungai khususnya di sepanjang Sungai Rompin dan Sungai Pontian yang menjadi tempat mencari rezeki kepada nelayan-nelayan darat khususnya komuniti Orang Asli.
“Aktiviti pelepasan benih udang galah pada setiap tahun dapat meningkatkan stok perikanan khususnya yang bernilai tinggi. Ia juga selaras bagi menjamin bekalan makanan, yang juga meningkatkan pendapatan nelayan termasuk melalui aktiviti agropelancongan dan rekreasi.
“Harga udang galah dapat mencapai sehingga RM60 hingga RM80 sekilogram bergantung kepada gred atau saiznya. Selain itu spesies ikan seperti sembilang, siakap dan ketutu juga dapat ditangkap di sungai-sungai tersebut,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Menurut beliau empat sungai yang dikenalpasti adalah Sungai Kuantan, Perairan Umum Sungai Rompin, Sungai Pontian di Kampung Kemendol dan Sungai Rompin di Kampung Deraman.
“Bagi pelepasan di Sungai Kuantan, ia telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang telah melepaskan sejumlah 100,000 benih udang galah dan sejumlah 55 ekor induk.
“Di Perairan Umum pula, pelepasan benih-benih udang galah sebanyak 50,000 telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kassim. Manakala bagi dua lokasi lagi, kita telah melepaskan 130,000 benih udang galah,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Perikanan juga turut membuat penyerahan empat kotak penyimpanan ikan kepada komuniti Orang Kampung Kemendol dan Kampung Deraman.
“Kita turut sampaikan empat kotak penyimpana ikan kepada kedua-dua komuniti Orang Asli tersebut kepada Batin Rosman Sulong dan Batin Nan@Karim Leman yang mewakili kira 300 penduduk Orang Asli di Rompin,” katanya. -PAHANGMEDIA