Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 18 JULAI 2022: Pelbagai jenis bantuan serta sumbangan yang dihulurkan Kerajaan Negeri kepada rakyat menjadi ingatan serta diterima penuh rasa syukur.
Segala usaha yang dilakukan amat dihargai kerana ia telah banyak membantu rakyat hidup selesa dan mampu melalui kesukaran dalam zaman yang penuh mencabar.
Penerima sumbangan untuk membaiki bumbung rumah, Puan Zainon Hamzah amat bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan berterusan yang diberikan melalui wakil rakyat di kawasan Bebar.

“Kehadiran wakil rakyat menyampaikan sendiri sumbangan dan bertanya khabar amat saya hargai.
“Saya dan keluarga mensyukuri segala bantuan dan kemudahan yang dinikmati hasil daripada kepimpinan kerajaan terutamanya kerajaan negeri yang sedia ada,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Medang selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beliau hadir menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada beberapa orang penerima sumbangan di bawah Dewan Negeri (DN) Bebar.
Turut sama Ketua Kampung Tanjung Medang, Encik Mohd Razi Ismail.
Sementara itu, rasa syukur sama turut disampaikan oleh seorang lagi penduduk, Puan Wan Fatimah Wan Su yang turut menerima bantuan peruntukan bagi membaiki bumbung rumahnya yang rosak.
“Bantuan yang dihulurkan melalui wakil rakyat yang hadir melihat sendiri keadaan rumah amat saya hargai dan membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap nasib masyarakat terutamanya kepada golongan yang tidak berdaya dan memerlukan perhatian,” katanya.
Selain berkongsi masalah penduduk, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut meluangkan masa melawat bekas Ketua Kampung, Encik Abd Mubin Andak yang kini menghidapi strok.
Selain bertanya khabar beliau turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung selain berdoa agar insan berjasa itu dikurniakan kesembuhan dari Allah SWT. -PAHANGMEDIA