Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 JULAI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Program Pemuliharaan Ekosistem Buffe Zone di Pantai Chendor di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenan menyaksikan penyerahan peruntukkan berjumlah RM115,500 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi aktiviti penanaman pokok di bawah Program Pemuliharaan Ekosistem Buffer Zone di persisiran pantai dan sungai seluruh Kuantan.
Baginda Tuanku juga berkenan menanam pokok di persisiran Pantai Chendor sebagai gimik Program Pemuliharaan Ekosistem Buffer Zone.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengurus Besar TNB Pahang, YH Dato’ Baderul Sham Saad dan Datuk Bandar MBK, YH Dato’ Hamdan Hussin.

Program Pemuliharaan Ekosistem Buffer Zone merupakan usaha bersama dalam mewujudkan zon penampan bagi mengekalkan ekosistem dan habitat semulajadi di sekitar Kuantan.
Menerusi peruntukan tersebut, pelbagai jenis spesis pokok ditanam di persisiran sungai dan pantai di Daerah Kuantan manakala sebanyak 1,000 batang Pokok Rhu akan ditanam di persisiran Pantai Chendor pada program tersebut sebagai zon penampan bagi mengelak hakisan ombak. – PAHANGMEDIA