Encik Samuel Isaiah yang menerima Anugerah Khas Diraja Negeri Pahang daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 di Hotel Zenith.

INGIN LIHAT ANAK MURID TIMBA ILMU PEMANGKIN SEMANGAT PENERIMA ANUGERAH KHAS DIRAJA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 18 JULAI 2022 : Semangat ingin melihat anak didik dapat menimba ilmu tanpa mengira tempat menjadi pemangkin semangat kepada penerima Anugerah Khas Diraja Negeri Pahang, Encik Samuel Isaiah untuk terus berusaha menabur bakti.

Encik Samuel, 35, berkata, sebagai seorang guru beliau ingin memberi yang terbaik kepada para pelajar sama ada di dalam kelas mahupun di luar dalam proses mencari ilmu.

“Saya bersyukur, berterima kasih dan berbesar hati dengan Kerajaan Negeri Pahang yang memberi saya anugerah ini. Bagi saya ini merupakan bukti bahawa cikgu yang berusaha, cikgu yang mahu melakukan perubahan untuk anak murid mereka, boleh berjaya dan boleh melakukan serta mendapat impak yang sepatutnya.

“Rasa berbaloi bagi seorang guru ini bila kita dapat lihat perubahan pada anak murid dia, tapi bagi saya segala usaha yang telah saya lakukan di sekolah dan apa yang saya lakukan sekarang, menunjukkan kerja yang saya lakukan ini boleh dilestarikan dan boleh diperluaskan di seluruh negeri,” katanya yang menerima piala iringan, sijil penganugerahan serta wang bernilai RM15,000.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara 2022 di Hotel Zenith.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menyampaikan sepuluh anugerah melibatkan pertubuhan belia, individu wanita, individu lelaki dan anugerah khas.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB. Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Guru Bahasa Inggeris di SK Runchang itu berkata beliau akan menggunakan wang yang diterima ini bagi menyumbang kepada bidang pendidikan.

“Pelan nak guna duit ini akan saya fikirkan dulu, mungkin saya akan beri sedikit kepada anak-anak murid yang saya kasihi di sekolah dan juga bagaimana saya boleh menyumbang lebih kepada pembangunan profesional perguruan,” katanya.

Beliau turut berharap golongan muda sentiasa berusaha dalam melakukan apa sahaja perkara kerana dunia masa kini melihat idea sebagai sesuatu yang boleh dikedepankan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram