Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 17 JULAI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang atas pewartaan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini.
Baginda bertitah sebelum ini Kerajaan Pahang telah menambah 1,900 hektar tambahan kawasan hutan simpan berkenaan pada Ogos tahun lepas.

“Saya telah menetapkan Hutan Simpan Chini diperluaskan untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan, serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak lagi terancam.
“Alhamdulillah, Kerajaan Pahang sudah mewartakan tambahan Hutan Rizab Chini pada 5 Ogos tahun lepas daripada 4,600 hektar sebelum ini kepada 6,500 hektar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Program Paya Besar Dialogue 2022 ‘Environmental Sustainability Through Community Resilience’ bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di panggung Pahang Consolidated Company Limited (PCCL), Sungai Lembing.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Titah baginda, perluasan kawasan Tasik Chini ini juga dapat melindungi flora dan fauna tasik secara langsung serta kawasan sekitar tasik daripada terjejas.
“Tasik Chini merupakan permata semulajadi di Pahang dan merupakan tapak Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pertama di Malaysia.
“Ia mempunyai nilai yang tinggi dan berkelas dunia di mana keunikkannya perlu dilindungi dan dipelihara,” titah baginda.
Baginda juga telah mengarahkan Kerajaan Pahang meneruskan usaha menambah kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) setiap tahun.
“Saya juga telah mengarahkan Kerajaan Negeri untuk meneruskan menambah kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) setiap tahun walaupun HSK dan Hutan Simpan di negeri ini telah bertambah lebih 7,000 hektar menjadikan keseluruhan HSK kira-kira 1.6 juta setakat ini.

“Ini menjadikan Pahang sebagai negeri yang mempunyai Hutan Simpan yang terbesar di Semenanjung Malaysia,” titah baginda.
Sementara itu, YAB Menteri Besar berkata penglibatan KDYMM Pemangku Raja Pahang dalam menyokong beberapa inisiatif di Negeri ini akan dapat memastikan hasrat memelihara dan memulihara alam sekitar dapat dicapai.
“Bagi program ini khasnya, baginda telah menyokong beberapa inisiatif yang dijalankan di negeri ini termasuklah pewartaan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini, serta menggerakkan usaha melindungi Harimau Malaya yang menjadi simbol kebanggaan negara yang kini spesis terancam.
“Ditambah pula dengan naungan Kebawah Dulu Yang Maha Mulia sebagai canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), saya tidak ragu-ragu berkenaan hasrat agar kawasan Paya Besar dan negeri Pahang untuk memelihara alam sekitar akan tercapai,” katanya. -PAHANGMEDIA