Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 16 JULAI 2022 : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan acara Fun Run di belakang kawasan Istana Pekan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri KBS, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker berkata ini berdasarkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Tuanku bertitah supaya KBS mengadakan Fun Run di Pekan selepas ini di belakang kawasan Istana Pekan.
“Tuanku sendiri yang akan buat penanda laluan di mana kita (KBS) menjunjung titah Tuanku dan akan menunggu penanda laluan siap dibuat sebelum mengeluarkan tarikh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian dan lawatan Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Padang Kemunting, hari ini.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Beliau berkata baginda juga berpuas hati dengan penganjuran Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022 ini dan bertitah lebih banyak acara Fun Run dianjurkan di negeri ini.
“Ini untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan baginda bertitah supaya menjenamakan semula Fun Run kita atas semangat lagenda kita, Mat Kilau.
“Pihak Jabatan Belia dan Sukan (JBS) akan menyahut titah Tuanku dan kita akan menyediakan kertas kerja yang diperlukan bagi menjalankan program yang dicadangkan oleh Tuanku.
Beliau berkata acara Fun Run ini akan dijadikan sebagai teras aktiviti JBS memandangkan sambutan ramai terhadap sukan secara santai ini.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga yakin dapat mencapai sasaran 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival ini dijalankan.
“Kalau kita lihat pada aliran orang yang datang, kita lihat penuh. Di mana semalam sahaja kita kita catat lebih 3,000 pengunjung.
“Bagi Fun Run pula kita dapat lebih 2,000 penyertaan, ini tidak termasuk pengunjung yang datang melihat pameran dan sebagainya. -PAHANGMEDIA