Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang pada Malam Alam Sekitar Sempena Dialog Paya Besar 2022 di Anjung Sungai Lembing, Kuantan, malam tadi.

KERAJAAN PAHANG KOMITED MENJAGA ALAM SEKITAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 16 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang komited dalam menjaga alam sekitar di negeri ini sebagai warisan kepada generasi akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata ini kerana alam sekitar merupakan elemen yang penting dalam kehidupan.

“Menjaga alam sekitar ini seperti menjaga nyawa kita, sebab itu Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh memastikan alam sekitar dipulihara dan terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin menyampaikan ucapan perasmian pada Malam Alam Sekitar Sempena Dialog Paya Besar 2022 di Anjung Sungai Lembing, Kuantan, malam tadi.

“Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang yang bertitah supaya kita menjaga alam sekitar di negeri ini agar terjamin dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“YAB Menteri Besar Pahang juga sangat serius untuk menjaga alam sekitar di mana kita nak pastikan Pahang mengekalkan 57 peratus Hutan Simpan yang ada, di mana ia meliputi 33 peratus keluasan Hutan Simpan di Malaysia.

“Kerajaan Negeri juga akan melancarkan Pelan Induk Pelaksanaan Alam Sekitar tidak lama lagi bagi memastikan kita dapat menjaga alam sekitar ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Alam Sekitar Sempena Dialog Paya Besar 2022 di Anjung Sungai Lembing di sini, malam tadi.

Timbalan Menteri Kewangan I yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah ketika menyampaikan ucapan aluan pada Malam Alam Sekitar Sempena Dialog Paya Besar 2022 di Anjung Sungai Lembing, Kuantan, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah; dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Sementara itu, menurut YB. Dato’ Indera Mohd Shahar, Kerajaan serius dalam penjagaan dan kelestarian alam sekitar apabila menganjurkan sesi Dialog Paya Besar.

“Pada Ahad nanti kita akan menerima wakil daripada 16 buah negara antaranya Korea Selatan, Jerman, Jepun, Jordan, Thailand bagi membincangkan mengenai alam sekitar dan kelestarian.

“Ini membuktikan kita serius dalam membicarakan tentang alam sekitar di mana apa yang kita lakukan ini bukan setakat program semata-mata,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan juga sedang mengatur langkah bagi memajukan Sungai Lembing dalam menuju pelan Sungai Lembing Lestari 2030.

“Bandar Sungai Lembing tidak akan dikesampingkan oleh Kerajaan dalam pembangunan Paya Besar 2030.

Persembahan kebudayaan pada Malam Alam Sekitar Sempena Dialog Paya Besar 2022 di Anjung Sungai Lembing, Kuantan, malam tadi.

“Kita telah memperuntukkan RM5 juta untuk membangunkan Sungai Lembing di mana kita akan bangunkan semula kilang memperoses bijih timah, menghidupkan semula panggung wayang Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

“RM500,000 diperuntukkan untuk memastikan elemen sejarah di kawasan Sungai Lembing dapat dipaparkan secara jelas melalui palan tanda, dan kalau fasa pertama ini berjaya, kita akan pergi ke fasa dua di mana sebanyak RM5 juta lagi akan diperuntukkan,” katanya.

Pelan Strategik Pembangunan Parlimen Paya Besar 2030 adalah sebuah perancangan jangka masa sederhana yang selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Kerajaan Persekutuan dan hala tuju pembangunan di peringkat negeri. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram