YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis penyerahan sijil penglibatan kepada 13 orang asli terlibat serta memantau keadaan semasa Tasik Chini.

PROGRAM PEMULIHARAAN TASIK CHINI LIBAT MASYARAKAT ORANG ASLI SETEMPAT

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 15 JULAI 2022 : Program pemuliharaan Tasik Chini melibatkan kerjasama penduduk orang asli setempat merupakan satu usaha serampang dua mata yang dilihat sangat berkesan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif mencari dan menyemai anak benih pokok yang sesuai oleh sukarelawan orang asli dapat memulihkan kawasan tasik seterusnya menjadi punca pendapatan tambahan kepada mereka yang terlibat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketiika memantau keadaan semasa Tasik Chini.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memperkenalkan sistem buy back guarantee.. maknanya kita telah enggage dengan 13 orang penduduk orang asli dari lima buah kampung di sekitar kawasan ini yang mencari benih beberapa spesis pokok yang sesuai contohnya Merbau, Meranti, Nyatuh, Sesior di mana mereka semai benih pokok tersebut dan menjualnya (anak pokok) kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah beri jaminan akan membeli balik benih pokok tersebut. Ini usaha yang sangat baik dan saya telah jumpa mereka yang nyata gembira kerana dapat menambah pendapatan mereka melalui usaha yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada majlis penyerahan sijil penglibatan kepada 13 orang asli terlibat serta memantau keadaan semasa Tasik Chini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr .Mohd Hizamri Mohd Yasin; Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Sharim Mat Zain serta Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika memantau keadaan semasa Tasik Chini.

Dalam pada itu, beliau berkata keadaan semasa kelihatan lebih baik dan usaha pemuliharaan yang diadakan telah menampakkan hasil yang memberangsangkan.

“Secara keseluruhan (Tasik Chini) nampak lebih baik daripada sebelum ini melalui pemantauan yang saya lihat sendiri melalui dron tadi. Saya percaya dalam beberapa bulan lagi mungkin 80 peratus keadaan akan kembali kepada asal.

“Sejak bulan Ogos lalu usaha cari benih dan semai telah dilakukan orang asli di sini selain kerja-kerja tanam balik pokok di kawasan ini telah dilakukan. Setakat hari ini saya berpuasa hati sebab ada perubahan dan penambahbaikan dan saya harap ia berterusan yang menjadikan ianya jauh berbeza daripada keadaan sebelum ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram