YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di Padang Awam FELDA Rentam, Bera

KERAJAAN UMUM PERUNTUKAN KHAS RM21 JUTA KEPADA 317 RANCANGAN FELDA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 14 JULAI 2022 : Kerajaan mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM21 juta kepada 317 rancangan FELDA sempena ulang tahun penubuhan FELDA ke-66.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap tanah rancangan FELDA ini akan menerima peruntukan sebanyak RM66,000.

“Sempena ulang tahun penubuhan FELDA yang ke-66 tahun ini, saya ingin umumkan lagi peruntukan khas sebanyak RM66,000 bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21 juta,” ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di Padang Awam FELDA Rentam, Bera.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di Padang Awam FELDA Rentam, Bera

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang dan barisan EXCO Kerajaan Pahang.

Beliau dalam majlis yang sama turut mengumumkan peruntukan dana berjumlah RM20 juta menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu FELDA.

“Bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi ini, saya mengumumkan dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu FELDA ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu FELDA.

“Pinjaman tanpa faedah ini diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej. Usahawan belia FELDA dari seluruh negara yang berminat boleh mula membuat permohonan bermula pada bulan Ogos 2022,” katanya.

Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambilalih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd.

“Saya juga mendengar keluh kesah peneroka tanaman getah yang runsing dengan harga getah yang rendah. Saya ingin tekankan di sini, Kerajaan dan FELDA tidak pernah meminggirkan peneroka tanaman getah ini.

“Dengan pengambilalihan ini, FELDA dan FGV Rubber Industries telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan lagi sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan. Keseluruhan pengurangan sebanyak 28 sen ini akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram