Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BERA, 14 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang akan menjenamakan semula Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) sebagai skim di bawah Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjenamaan ini melibatkan sepuluh tapak yang terbengkalai untuk dibaikpulih oleh Kerajaan Pahang.

“Berhubung perkara ini, Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Ekonomi telah menyerahkan sepuluh tapak projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk dibaikpulih dan dijual semula kepada generasi baharu FELDA.
“Sepuluh tapak tersebut adalah di FELDA Jengka 1, FELDA Jengka 6, FELDA Jengka 11, FELDA Jengka 12, FELDA Sungai Retang, FELDA Bukit Tajau, FELDA Bukit Sagu, FELDA Kota Gelanggi 2, FELDA Kampung Awah dan FELDA Keratong 7.
“Selain itu, kaedah baik pulih dan jualan adalah mengikut kaedah skim perumahan Kerajaan Negeri sedia ada dan akan dijenamakan semula sebagai skim di bawah Kerajaan Negeri. InsyaAllah penjenamaan semula ini akan kita muktamadkan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di Padang Awam FELDA Rentam di sini hari ini.
Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan berkenaan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Turut hadir,Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB. Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Beliau berkata, menerusi skim ini, kesemua tapak yang terlibat akan diwartakan di bawah Seksyen 6 Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, manakala permohonan pula akan dibuat atas hak milik persendirian di bawah Lembaga Perumahan dan hartanah Pahang dan dipindah milik kepada pembeli.
“Mudah-mudahan hasrat generasi baharu FELDA untuk memiliki kediaman sendiri akan dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah berusaha sehabis baik bagi memastikan Generasi Baharu FELDA terutamanya yang tinggal di kawasan tanah rancangan mempunyai kediaman sendiri tanpa perlu berkongsi rumah dengan ibu bapa mereka. -PAHANGMEDIA