Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Program Jentera Jalinan Rakyat Wanita UMNO Pahang di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang.

PAHANG TERUS BERADA DI LANDASAN CEMERLANG DI BAWAH KEPIMPINAN BN : MB

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 JULAI 2022 : Pencapaian cemerlang berterusan negeri Pahang termasuk dari sudut kestabilan ekonomi, politik, kebajikan dan sebagainya kian disedari rakyat yang tidak pernah tercicir dalam menerima limpahan kebaikannya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pulangan kepada rakyat terutamanya golongan memerlukan adalah perkara yang sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbiran di bawah pimpinan beliau.

“Seharusnya rakyat boleh nampak setiap usaha yang dilaksanakan..menjadi harapan saya agar rakyat boleh menilai dengan baik apa yang Kerajaan Pahang yang ditunjangi Barisan Nasional / UMNO lakukan selama ini jadi saya fikir mereka dapat menilai, dapat rasa serta dapat dilihat dan tengok hasilnya.

“Kita ada data-data tertentu yang boleh dirujuk dan tengok, sebagai contoh ialah (pencapaian peningkatan) hasil kerajaan negeri yang dicatatkan sampai saat ini. Ia tidak dapat dinafikan kerana ia adalah perkara yang tepat dan benar. Ia tidak boleh direkacipta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang is (UKOMP) pada Program Jentera Jalinan Rakyat Wanita UMNO Pahang di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, YH Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nadzahar, Ketua Wanita UMNO Pahang, YH Dato’ Siti Hajar Mubin, Naib Ketua Wanita UMNO Pahang, YB, Datin Hajah Samsiah Arshad.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan persediaan semasa jentera pilihan raya negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menjelaskan bahawa kerja-kerja berkaitan berjalan dengan baik.

“Jentera pilihan raya kita di Pahang ni boleh dikatakan sentiasa bersiap sedia, cuma pada kali ini boleh dikatakan kita dah di ambang, walau kita tak tahu bila (pilihan raya).. jadi kita nak perkemaskan lagi, nak pertingkatkan lagi jentera kita lebih-lebih lagi dengan kehadiran lebih 300,000 pengundi baru yang automatik (layak mengundi) di Pahang ini.

“Saya minta jentera parti khususnya JR kenalpasti di mana pengundi-pengundi ini berada dan dekati mereka untuk sampaikan apa yang telah kerajaan negeri Pahang yang ditunjangi oleh Barisan Nasional dan UMNO lakukan selama ini.

“Kita kena jumpa mereka sebab mengikut laporan yang kita terima, pengundi baru ni ada yang berusia 55 tahun baru nak mengundi maknanya selama ni tak pernah mengundi mana-mana parti dan tak ambil kisah mengenai pilihan raya,” katanya.

Kata beliau, usaha memberi pencerahan berkenaan isu mahupun pencapaian cemerlang kepimpinan sedia ada amat perlu bagi mengelak sebarang penyebaran cerita tidak benar atau maklumat rekaan dan palsu yang sedikit sebanyak mampu mempengaruhi pengundi ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram