Petugas PEDi di Pahang mengikuti Program Pemerkasaan Transformasi PEDi anjuran SKMM Pahang yang berlangsung di Kuantan pada 5 dan 6 Julai lalu.

PEDI DI PAHANG TERIMA 462,056 PENYERTAAN

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 13 JULAI 2022 : Seramai 111 petugas Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh Pahang terus komited untuk menjayakan Agenda Digital Negara.

Sehingga kini, PEDi di seluruh Pahang merekodkan sebanyak 159,754 pengguna dan daripada jumlah itu, 462,056 penyertaan direkodkan mengikuti pelbagai program dan latihan disediakan PEDi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, angka dan statistik ini akan terus dipertingkatkan lagi selepas PEDi menjalani transformasi peranan dan tanggungjawab sejak penghujung 2021 lalu.

“Melalui transformasi ini, PEDi bukan lagi sekadar memberi capaian internet secara kolektif kepada masyarakat setempat malahan berfungsi sebagai pusat ekonomi digital masyarakat luar bandar.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, kewujudan PEDi diiktiraf sebagai antara infrastruktur digital utama dan penting yang akan memacu Agenda Digital di peringkat negeri sepertimana termaktub dalam Pelan Digital Pahang (PDP) 2021 – 2025 yang dilancarkan pada bulan Jun yang lalu.

“Adalah menjadi harapan bagi pihak Kerajaan Negeri agar semua petugas PEDi ini sentiasa mempunyai maklumat dan pengetahuan terkini selaras dengan peranan dan tanggungjawab mereka membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat yang berada di sekitar lokasi PEDi di negeri Pahang,” katanya.

Katanya lagi, baru-baru ini, semua petugas PEDi di Pahang telah mengikuti Program Pemerkasaan Transformasi PEDi anjuran SKMM Pahang yang berlangsung di Kuantan pada 5 dan 6 Julai lalu.

Program ini bertujuan memberi maklumat terkini tentang hala tuju baharu PEDi, pendedahan serta maklumat berkenaan peluang-peluang dan bantuan keusahawanan yang disediakan di peringkat negeri mahupun nasional dalam menjana ekonomi digital dan membantu usahawan tempatan terutamanya usahawan kecil di kampung-kampung. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram