Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 7 JULAI 2022 : Kerajaan Pahang menerima peruntukan berjumlah RM6 juta daripada Kementerian Perpaduan Negara di mana RM5 juta diberikan bagi pembangunan Kampung Baru seluruh Pahang manakala RM1 juta adalah Geran Rumah Ibadat Selain Islam.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) selain pelbagai usaha lain yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi pelbagai masalah berkaitan.

“Sempena majlis ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Perpaduan kerana telah meluluskan geran sebanyak RM450,000 bagi projek-projek pembangunan Kampung Baru di Lipis. Untuk pengetahuan YB, masih ada lagi permohonan daripada Kampung Baru lain di Negeri Pahang dan sedang mengemukakan cadangan-cadangan projek pembangunan di kawasan masing-masing.
“Saya berharap permohonan-permohonan ini diberi pertimbangan sewajarnya, diberikan pertimbangan yang sehabis baik dan diluluskan atas dasar pemberian kasih dan sayang,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika menerima kunjung hormat daripada Menteri Perpaduan Negara, YB. Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique pada Majlis Kunjung Hormat YB. Menteri Perpaduan Negara ke atas YAB Menteri Besar Pahang dan Majlis Penyerahan Peruntukan Pembangunan Kampung Baru Cina & Geran Rumah Ibadat Selain Islam di Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, pagi tadi.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau mahu memastikan agar semua penduduk di Kampung Baru dapat menikmati dan merasa kesan kemakmuran bersama dan menepati gagasan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam membangun Keluarga Malaysia. – PAHANGMEDIA