Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 JULAI 2022 : Seramai 12 graduan telah menerima surat serahan lantikan latihan khas bagi graduan anak negeri ini iaitu Pahang Talent oleh Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang.
Program yang julung kali diperkenalkan oleh Kerajaan Pahang ini merupakan inisitaif untuk mengenalpasti belia yang berpotensi dilatih di bawah bimbingan barisan exco Kerajaan Negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua mereka merupakan perintis untuk melahirkan anak Pahang yang berketerampilan.

“Hari ini satu peristiwa bersejarah di Negeri Pahang di mana Kerajaan Negeri telah bersetuju melantik 12 orang graduan yang mana mereka ini telah dipilih di dalam program Pahang Talent.
“Pemilihan mereka ini begitu rapi melibatkan banyak kaedah dan cara pemilihan yang sesuai dengan gelaran yang kita bagi bagi anak Pahang bagi program Pahang Talent,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan surat serahan lantikan latihan khas Pahang Talent kepada 12 graduan di Wisma Sri Pahang, di sini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.
Beliau berkata graduan yang terpilih ini akan menjalani latihan selama 12 bulan bagi secara langsung di bawah bimbingan barisan Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Pahang sendiri.

“Yang penting dapatkan pengalaman kerana pengalaman ini tidak boleh dibeli, kita nak mereka ini timba ilmu dan juga pengalaman dari latihan ini.
“Kerajaan Negeri juga beri sedikit insentif kepada graduan yang terpilih sebanyak RM2,500 sebulan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua graduan yang terpilih ini juga merupakan calon daripada keseluruhan 400 calon terlibat.
“Menerusi program yang julung-julung kali diadakan ini, 12 calon ini dipilih daripada keseluruhan 400 graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA yang terpilih untuk menjalani program ini.
“12 calon yang terpilih ini juga telah melalui beberapa fasa saringan dan pemilihan sejak April lalu, di mana mereka perlu melepasi tiga peringkat saringan, serta proses temuduga.
“Selepas tamat menjalani latihan, graduan juga berpeluang diserapkan bekerja dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri Pahang dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Pahang, berdasarkan prestasi sepanjang mengikuti program berkenaan,” katanya.
Beliau turut berharap kesemua graduan terpilih ini akan memanfaatkan peluang untuk mengembangkan bakat dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada Kerajaan Negeri.
“Saya juga berharap agar program ini dapat diteruskan agar lebih ramai lagi generasi pelapis yang berketrampilan dapat dilahirkan, lebih ramai tenaga kerja mahir dapat dihasilkan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA