Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan anugerah Olahragawan kepadaa atlet pencak silat, Mohd Taqiyuddin Hamid

TAQIYUDDIN, KOH SEI YAN DINOBAT OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI SUKAN PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 05 JULAI 2022 : Atlet pencak silat, Mohd Taqiyuddin Hamid dan atlet gimrama, Koi Sei Yan dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Anugerah Sukan Pahang (ASP) 2019/2020.

Anugerah disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu majlis di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.

Mohd Taqiyuddin, 27, dan Koi Sei Yan, 21, masing-masing membawa pulang insentif daripada Kerajaan Pahang bernilai RM5,000, piala pusingan, sijil penghargaan, mock cek, dan trofi.

Pemilihan Mohd Taqiyuddin yang bertanding dalam acara ganda putra dibuat berdasarkan rekod cemerlang beliau yang memperoleh emas pada Sukan SEA 2019, Malaysia Silat Open 2019, Pemilihan Kebangsaan Elit/ Juara Kebangsaan 2019, dan Kejohanan Silat Terbuka Uzbekistan 2020.

Anak kelahiran Maran ini juga turut memenangi gangsa dalam acara sama pada Belgium Open Silat Champ 2019, dan Asina Pencak Silat Championships 2019 Kali Ke-5 di Yanji, China.

Manakala Koi Sei Yan dipilih berdasarkan pencapaian pingat emas dalam acara all around, hoop, ball, dan clubs serta pingat gangsa bagi acara ribbon pada Karnival Majlis Sukan Negara Malaysia 2020.

Beliau juga turut memenangi pingat emas dalam acara ribbon dan perak bagi acara clubs pada Sukan SEA Philippines 2019.

Anak kelahiran Kuantan ini juga turut berada pada kedudukan ke-14 pada Lisbon International Tournament di Portugal, kedudukan ke- 14 pada 11th Senior Championship di Thailand, kedudukan ke-17 pada Universiade Games di Italy, dan kedudukan sama pada 37th World Championship 2020 di Sofia, Bulgaria kesemuanya bagi acara all around.

Beliau juga pernah memenangi Anugerah Olahragawati Harapan 2015/2016, Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2017, dan Anugerah Olahragawati Negeri 2017/2018.

Anugerah Sukan Pahang kali ini juga memberikan Anugerah Khas Olimpian kepada Nur Shazrin Mohamad Latif yang merupakan atlet pelayaran yang menerima insentif RM5,000.

Bagi Anugerah Olahragawan Harapan diterima oleh Muhamad Izham Azhar; dan Anugerah Olahragawati Harapan diterima Siti Zulaikha Husain yang masing-masing merupakan pemain hoki.

Paralimpik Lelaki Terbaik diterima oleh Mohamad Yusshazwan Yusoff yang merupakan atlet tenis kerusi roda, dan Paralimpik Wanita Terbaik diterima Ruzila Mustafa yang merupakan atlet tenpin boling.

Kesemua penerima anugerah ini menerima insentif sebanyak RM3,000, sijil penghargaan, trofi, dan mock cek setiap seorang.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Zamri Hassan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram