YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama pelakon utama filem Mat Kilau iaitu YH Dato' Adi Putra bersama penonton filem tersebut sempena Malam Patriotik Pahang di GSC East Coast Mall, malam tadi.

KERAJAAN PAHANG SOKONG USAHA BAKAR SEMANGAT PATRIOTISME MELALUI FILEM

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 5 JULAI 2022 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia untuk memberi sokongan kepada sebarang usaha membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Ia disuarakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail selepas menonton filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang sedang ditayangkan di pawagam berjaya menjentik emosi dan semangat patriotik rakyat di negara ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri YABhg Datin Sri Dato’ Burhan Mohammed yang hadir menonton filem Mat Kilau sempena Malam Patriotik Pahang di GSC East Coast Mall, malam tadi.

“Filem ini menjadi bukti bahawa generasi kita hari ini amat perlukan medium seperti filem Mat Kilau untuk menyuntik semangat nasionalisme dan patriotisme dalam diri.

“Ia benar-benar menaikkan semangat, rasa teruja di mana kita dapat melihat sejarah Mat Kilau menentang penjajahan British dalam mempertahankan agama dan bangsa.

“Filem ini juga berjaya mengangkat martabat dan kehebatan negeri Pahang dalam melahirkan tokoh pejuang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan juga Dato Bahaman yang bukan sahaja handal bersilat dan cekap bermain senjata, tetapi juga penuh ilmu di dada serta kaya dengan budi bahasa,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada sempena Malam Patriotik Pahang di GSC East Coast Mall, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem Mat Kilau sempena Malam Patriotik Pahang di GSC East Coast Mall, malam tadi.

Lebih istimewa, penonton turut dikejutkan dengan kehadiran pelakon utama filem Mat Kilau, Dato’ Adi Putra bersama dua lagi pelakon, Ali Karimi, Ahmad Hilmee serta penerbit dan penulis skrip filem berkenaan, Shahruddin Dali.

Dalam pada itu beliau turut menyampaikan ucapan syabas dan tahniah kepada penerbit filem Mat Kilau iaitu Studio Kembara Sdn Bhd, Pengarah Syamsul Yusof serta seluruh barisan krew produksi di atas pencapaian cemerlang filem berkenaan yang telah mengutip sehingga RM47 juta sehingga semalam.

“Usaha mengangkat ikon pahlawan negeri Pahang, Mat Kilau dalam filem menjadi platform untuk anak muda khususnya di negeri ini mengenali figura berbakti itu secara lebih dekat.

“Medium (filem) seperti ini diharapkan untuk membangkitkan semangat anak muda selain medium lain seperti media sosial.

“Kita harap banyak lagi filem seperti ini dapat dihasilkan kerana ramai anak muda yang tak tahu sejarah kebangkitan dan kemerdekaan yang kita kecapi hari ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram