Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 JUN 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan dewan baharu di Parlimen Paya Besar dan dinamakan Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail sebagai mengenang jasa kepimpinan berjiwa rakyat oleh mantan Ahli Parlimen itu.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, dewan tersebut telah berjaya disiapkan pada 2 Jun 2021 meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19 hasil komitmen daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MBK).
“Alhamdulillah, saya difahamkan bahawa dewan ini telah berjasa apabila menjadi Pusat Pemindahan Mangsa Banjir ketika Paya Besar dilanda bencana banjir pada akhir tahun lalu.
“Justeru, saya berharap dewan baharu ini akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat selari dengan visi Kerajaan Negeri Pahang dalam menyediakan infrastruktur serta kemudahan bagi kegunaan rakyat.
“Selain mampu berfungsi sebagai pusat pemindahan mangsa banjir, banyak program-program kemasyarakatan boleh dianjurkan di dewan ini termasuklah seperti program pada hari ini,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail dan Perasmian Penutup Program Kementerian Kewangan (MOF) Bersama Pelanggan di Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2022 di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail di Kuantan, petang tadi.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kewangan 1, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Lebih 20 pempamer terdiri daripada pelbagai agensi di bawah MOF termasuk LHDN, KWSP, AKPK, Bank Negara Malaysia, LAKSANA dan sebagainya telah terlibat pada Program MOF Bersama Pelanggan itu.
Kerajaan Pahang menerusi Pejabat Daerah dan Tanah serta MBK turut mengambil bahagian pada program sama.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, inisiatif seumpama ini merupakan usaha yang sangat baik daripada pihak MOF sebagai ‘reach out’ kepada rakyat luar bandar dalam menyampaikan maklumat dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di setiap peringkat. – PAHANGMEDIA