YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang penerima pada majlis penyampaian anugerah berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.

105 PEGAWAI, KAKITANGAN SUK PAHANG TERIMA ANUGERAH CEMERLANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 22 JUN 2022 : Seramai 105 orang pegawai dan kakitangan dirai dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang Tahun 2022 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini malam tadi.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) ini menyaksikan 53 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), lima orang menerima Anugerah Khas Kecemerlangan, 24 orang menerima Anugerah Khas SUK, 12 orang menerima Penghargaan 25 Tahun Perkhidmatan dan 11 orang pesara.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Anugerah Penghargaan 25 Tahun Perkhidmatan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim pada majlis penyampaian anugerah berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anugerah ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap warga kerja SUK yang sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh serta komited dalam melaksanakan tugas.

“Penganugerahan ini bukan hanya sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada anggota yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan atau telah menghasilkan prestasi kerja cemerlang, bahkan dalam skop yang lebih luas.

“Anugerah Perkhidmatan Cemerlang merupakan langkah ke arah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya pada agensi itu sendiri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan kepada seorang penerima pada majlis penyampaian anugerah berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, malam tadi.

“Kesungguhan dan komitmen tinggi mampu membawa kepada kecemerlangan perkhidmatan. Kecemerlangan ini boleh dijadikan sebagai pengukur bahawa perkhidmatan awam telah berjaya menunaikan amanah dan tanggungjawabnya secara proaktif dan berkesan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin serta barisan Exco Negeri Pahang.

Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, cabaran wujud dalam usaha mengambil pendekatan aggresif untuk meningkatkan hasil negeri Pahang supaya hasil tersebut dapat dikembalikan semula kepada rakyat untuk kesejahteraan bersama.

“Penting bagi kita semua untuk terus memberi penekanan peribadi atau “character building” melalui penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan juga mengamalkan nilai-nilai murni serta ciri-ciri peribadi yang positif termasuk aspek integriti yang tinggi.

“Tingkah laku yang utuh dan tahap disiplin penjawat awam yang tinggi dalam melaksanakan tugas amat diharapkan demi menjayakan setiap inisiatif kerajaan. “Self-government won’t work without self-discipline,” katanya.

Beliau turut mengajak semua penjawat awam negeri memegang erat empat nilai murni iaitu rajin, amanah, disiplin dan bertanggungjawab dalam membentuk negara berjaya dan dihormati dunia.

“Apabila kita bekerja dengan cukup rajin, ikhlas dan amanah, kejayaan sudah tentu akan diperolehi namun sebaliknya berlaku jika tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh, malahan terlibat dengan rasuah, maka usaha Kerajaan Negeri Pahang tidak mungkin akan berjaya.

“Sejarah peradaban lampau telah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan itu akan musnah apabila gejala rasuah tidak lagi boleh dibendung. Pada masa yang sama, bagi pelanggan atau rakyat, ekspektasi terhadap perkhidmatan awam juga semakin hari semakin tinggi, dan ini sudah tentunya memerlukan kita untuk membuat pembaharuan yang berterusan agar kita sentiasa responsif, relevan dan berkesan dalam memenuhi permintaan dan harapan rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram