Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 JUN 2022 : Seramai 704 pemandu teksi di seluruh Pahang menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) berjumlah RM140,800 di mana setiap penerima akan mendapat RM200 bantuan dan akan disampaikan secara berperingkat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BPP ini menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan bantuan dapat dilaksanakan supaya semua penerima daripada empat kluster iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum dan Kluster Apresiasi menerima sumbangan oleh kerajaan ini.

“Ini adalah ekoran daripada pengumuman bajet yang saya umumkan RM30 juta tempoh hari untuk Bantuan Prihatin Pahang. Jadi kita bagi kepada semua kluster dan insyaa Allah selepas ini akan ada lagi, saya dimaklumkan ada kluster ibu-ibu tunggal yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya , Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, petang tadi.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, barisan Exco Kerajaan Pahang, Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Teruntum dan Tanjung Lumpur, YH. Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar dan Pegawai Daerah Kuantan, YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.
Dalam perkembangan lain berhubung kelewatan bantuan wang ihsan banjir di beberapa daerah di Pahang, beliau berkata, kemungkinan terdapat masalah teknikal sehingga mengakibatkan kelewatan bantuan terbabit.
“Mungkin ada masalah teknikal, nama tertinggal, tidak berdaftar dan sebagainya tetapi jika tiada mereka boleh tampil ke hadapan untuk memberitahu. Boleh bertemu dengan pengerusi PKOB.
“Kalau dia layak dapat, kita bagi. Yang menjadi masalah ialah jika dia tidak layak dapat tetapi kita bagi (bantuan). Sebab ini duit kerajaan dan kita harus berhati-hati menguruskannya walaupun kita memang nak bagi. Tetapi saya bagi jaminan, kalau dia patut dapat, dia akan dapat, kalau dia terlibat dengan pemindahan, dia patut dapat bergantung kepada dokumen-dokumen tertentu sebagai pengesahan,” katanya. – PAHANGMEDIA