Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 JUN 2022 : Kerajaan Pahang telah memutuskan untuk menangguhkan perpindahan tapak Pasar Tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dicadangkan dipindahkan ke Dataran Serambi Teruntum.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda berkata keputusan ini diputuskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) yang diadakan semalam.
“Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bercadang untuk memindahkan Tapak Pasar Tani UTC ditengah-tengah Bandaraya Kuantan ke Serambi Teruntum.
“Cadangan pemindahan ini disebabkan oleh isu kesesakan Jalan Bukit Sekilau bersebelahan Tapak Pasar Tani UTC sehingga menganggu lalulintas kenderaan awam dan individu yang menggunakan laluan ini.
“Para peniaga-peniaga Pasar Tani UTC telah membuat bantahan perpindahan ini kepada Timbalan Menteri Kewangan 1 yang juga ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan atas keperihatinan beliau telah memaklumkan kepada saya,” katanya.
Beliau berkata perkara ini telah dibawa ke pengetahuan YAB Menteri Besar dan beliau telah membuat keputusan segera supaya MBK menagguhkan perpindahan tersebut bagi semakan terperinci.
“Perkara ini telah dimaklumkan dalam MMK semalam dan YAB Menteri Besar atas sifat pemimpin yang mengutamakan rakyat telah membuat keputusan segera, meminta MBK menangguhkan perpindahan pada 19 Jun 2022 nanti untuk semakan terperinci oleh MBK.
“Keputusan ini pastinya melegakan peniaga-peniaga Pasar Tani UTC yang telah berniaga di sini hampir sembilan tahun selepas berpindah dari tapak Stadium Darul Makmur ,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para pengunjung Pasar Tani UTC untuk mematuhi peraturan lalulintas bagi mengelakkan masalah dan juga kesesakan kepada pengguna laluan berkenaan.
“Pengunjung-pengunjung Pasar Tani UTC diminta tidak meletakkan kenderaan atas Jalan Sekilau bersebelah tapak pasar tani selepas lampu isyarat Persimpangan Jalan Tun Ismail Jalan Sekilau kerana ianya menganggu kenderaan awam dan kenderaan lain yang menggunakan jalan ini.
“Alternatif tapak letak kereta di Stadium Darulmakmur masih boleh digunakan sebagai tempat letak kereta untuk ke Pasar Tani UTC,” katanya.
Arahan perpindahan Tapak Pasar Tani UTC Kuantan ke Dataran Serambi Teruntum telah dimaklumkan oleh MBK kepada para peniaga melalui surat yang dikeluarkan pada 14 Jun lepas. -PAHANGMEDIA