Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 JUN 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikrar akan melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha yang terbaik dalam melindungi Harimau Malaya.
Baginda bertitah Harimau Malaya menjadi simbol keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia dan telah lama hidup bebas di negara ini namun kini menghadapi ancaman kepupusan.
“Namun begitu, haiwan yang luar biasa dan mengagumkan ini, kini mengalami ancaman kepupusan yang kritikal. Kita perlu membulatkan tekad dan mengambil langkah yang tegas untuk menyelamatkan Harimau Malaya.

“Dengan ini, saya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, berikrar bahawa saya akan melaksanakan tanggungjawab dan melakukan usaha yang terbaik agar spesies kebanggaan negara in akan terus hidup dan tidak berada di ambang kepupusan,” titah baginda.
Baginda turut berharap supaya Kerajaan Negeri Pahang dapat melaksanakan langkah penting dalam memelihara dan memulihara Harimau Malaya khususnya memberikan keutamaan untuk menubuhkan unit penguatkuasaan yang berkesan bagi menghapuskan ancaman pemburuan haram.
“Selain itu memastikan pemburu haram yang terlibat dalam kegiatan tersebut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan; habitat utama Harimau Malaya iaitu di Greater Taman Negara dan kawasan di sekitarnya dilindungi segera dan jaringan koridor hidupan liar penting di kawasan Central Forest Spine dipulihkan,” titah baginda.
Bagi memastikan langkah penting berkenaan dapat dicapai, baginda menyeru agar semua pihak melengkapkan diri dengan pengetahuan, teknologi, sumber, dan bantuan teknikal daripada golongan pakar tempatan dan antarabangsa.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara sendirian, dan sebaliknya perlu menyokong kerjasama dan kolaborasi penuh antara Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur, Kerajaan Persekutuan, serta Kerajaan Negeri lain yang bersempadan dengan Negeri Pahang Darul Makmur.
“Jika kita bertindak dengan bersungguh- sungguh dan penuh ikhlas hati, saya percaya bahawa kita pasti dapat menyelamatkan Harimau Malaya, ikon kemegahan Malaysia.
“Kita perlu melindungi kawasan hutan yang merupakan warisan biodiversiti yang tiada galang ganti di negara kita dan hutan akan terus menyediakan perkhidmatan ekosistem yang penting demi kesejahteraan rakyat,” titah baginda. -PAHANGMEDIA