TAHNIAH SK KEMPADANG – YAB MENTERI BESAR PAHANG

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 10 JUN 2022 : Pencalonan Sekolah Kebangsaan Kempadang dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi nyata telah mengharumkan nama negara dan khususnya pada negeri Pahang sendiri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan ucapan tahniah dan rasa bangga dengan pencapaian sekolah berkenaan yang juga di bawah tajaan Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang bermula tahun 2015 hingga 2021.

Menurutnya, penajaan berkenaan adalah untuk menjalankan program Sekolah Amanah yang merupakan pendekatan baharu dalam bidang pendidikan untuk memperkasakan sekolah dengan memberi autoriti untuk mengurus dan membuat keputusan bagi meningkatkan prestasi pelajar.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Tahniah juga kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa, Klang, Selangor yang turut tercalon dalam anugerah yang sama bagi kategori Menangani Cabaran.

“Saya doakan agar kedua-dua sekolah ini berjaya mengungguli Anugerah Sekolah Terbaik Dunia sekaligus mengangkat nama baik Malaysia di persada dunia. InsyaAllah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Anugerah ini dilancarkan oleh sebuah organisasi peringkat global, T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai bernilai lebih RM1 juta (ASD250,000).

Tiga finalis terbaik akan dipilih untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat.

Pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada Minggu Pendidikan Dunia yang diadakan pada 16 hingga 21 Oktober depan dan akan menerima RM219,950 (ASD50,00 ).

Sepertimana yang dinyatakan oleh Pengasas T4 Education, Vikas Pota, sekolah yang disenarai pendek ini dipilih menerusi penceritaan kisah-kisah inspirasi sekolah yang mengubah kehidupan murid, membawa perubahan sebenar kepada komuniti serta menjadi sekolah contoh kepada orang ramai. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram