Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 9 JUN 2022 : Inisiatif Kerajaan Pahang melaksanakan Skim Tanah Rakyat (STR) yang membuka peluang kepada penjawat awam atau pesara untuk memiliki tanah sendiri bukan sahaja bukti keprihatinan kerajaan terhadap peranan golongan itu, tetapi memberi peluang menambah pendapatan mereka.
Seorang pesara, Encik Abdul Latif Abdullah berkata, beliau telah membuat permohonan sejak 10 tahun lalu ketika masih dalam perkhidmatan namun dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) ini telah mempercepatkan proses pemberian tanah berkenaan.

“Gembira sangat bukan senang nak dapat 5 ekar ni, kita minta daripada kerajaan pun memang tak dapat 5 ekar, saya jadi penghulu pun belum tentu dapat tanah 5 ekar, ini pulak PKPP buat begini, Alhamdulillah sangatlah.
Sementara itu, seorang guru, Puan Arpah Hashim berkata, beliau bakal bersara pada tahun hadapan dan berharap pemberian pemilikan tanah STR ini akan dapat memberikan manfaat kepada dirinya.
Beliau sangat bersyukur dan gembira di atas pemberian tanah seluas 5 ekar ini dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang.

“Saya sangat berasa gembira dan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Pahang keranan mengadakan program seperti ini dan berharap dapat diteruskan untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Bagi seorang lagi pesara, Encik Abdul Manaf Sulaiman, pemberian STR ini sangat bermakna meskipun menunggu lebih enam tahun bagi mendapat surat tawaran berkenaan.
“Saya memang rasa gembira tak terkata sebab pada mulanya kita menyangka memang takde dah, terlampau lama sangat kan jadi dengan usaha kerajaan negeri terhadap kakitangan kerajaan ni, Alhamdulillah syukur, sebagai penjawat awam sangat-sangat berterima kasih di atas usaha YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang peka dengan kakitangan perkhidmatan awam,” katanya.
Seramai 240 penerima telah mendapat surat tawaran masing-masing pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kepada Peserta Lot Ladang Sawit di Bawah Skim Tanah Rakyat (STR), Batu 8 Lepar (Lot 5), Mukim Lepar di Pekan yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, YB. Pegawai Kewangan Negeri, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Yunus, Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zalizar Zulkifli dan barisan ADN serta pemimpin tempatan.
Pada majlis itu, setiap penerima mendapat 5 ekar tanah dengan jumlah RM12,200 bagi setiap ekar menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM61,000 bagi seorang.
Kesemua penerima telah dipilih oleh Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) dalam mempertimbangkan pemberi milikan tanah secara berperancangan di Pahang.
Kerajaan negeri berhasrat untuk meluaskan program seumpama ini di seluruh daerah di Pahang bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam di negeri ini memiliki tanah sendiri. – PAHANGMEDIA