YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Nextgreen Global Berhad (NGGB) yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Lim Thiam Huat dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang diwakili oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob.

TIGA KILANG BAHARU SELUAS 1,214 HEKTAR AKAN DIBINA DI PALOH HINAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 09 JUN 2022 : Tiga buah kilang seluas kira-kira 1,214 hektar akan dibina di Paloh Hinai bagi melengkapkan sebahagian perancangan pembangunan Taman Teknologi Hijau (GTP) di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan kilang-kilang ini juga turut membawa nilai pelaburan bernilai RM162 juta kepada negeri ini.

“Kilang Fasa 1B ini akan melibatkan pembangunan tiga kilang iaitu kilang tisu, kilang baja dan kilang makanan haiwan.

“Kilang baja dijangka siap pada penghujung tahun ini, manakala kilang tisu dan makanan haiwan dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B Green Technology Park (GTP) di Paloh Hinai, hari ini.

“Dari segi pengeluaran, kilang tisu dijangka akan menghasilkan 10,000 tan metrik, manakala kilang baja dan makanan haiwan akan mengeluarkan 30,000 tan metrik setiap satu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B Green Technology Park (GTP) di Paloh Hinai, hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.

Dalam majlis sama, turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Nextgreen Global Berhad (NGGB) yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Lim Thiam Huat dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang diwakili oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob.

Menurut beliau lagi, pihak NGGB juga telah melakukan kajian dan mendapati negeri ini mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi daripada ladang sawit yang ada.

“Itu yang mereka (NGGB) buat perjanjian dengan NAFAS, dengan FELDA, dah ada perjanjian semua dah. Dan saya pasti syarikat ini (NGGB) sudah tentu mereka memastikan ada bekalan yang mencukupi.

“Saya rasa telah terjamin, kita pun banyak sawit. 250,000 tan tandan kosong setahun. Sebab itu mereka datang melabur di Pahang,” katanya.

Tambah beliau lagi, pembinaan kilang ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat termasuklah kepada masyarakat Orang Asli.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Bagi kilang kertas yang telah dibina, kita ada 250 pekerja di mana lapan orang daripada mereka adalah Orang Asli.

“Jadi bila siap tiga lagi kilang, saya harap ia akan membantu penduduk di sekitar kawasan ini mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram