KUANTAN, 5 JUN 2022: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Malaysia melestarikan alam sekitar bersempena ulang tahung ke-50 Alam Sekitar Sedunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut pada hari ini.
Baginda bertitah, bagi tujuan tersebut, pelbagai aktiviti mempromosikan dan menggalakkan kesedaran seluruh warga dunia dalam usaha melestarikan alam sekitar akan diadakan.
Baginda turut menyeru agar seluruh agensi awam dan swasta di Malaysia menjadi peserta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti peringkat PBB serta menyokong inisiatif utama seperti cadangan untuk melindungi dan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030.
“Walaupun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meningkat di seluruh dunia sejak lima dekad lalu, namun pelbagai kegiatan manusia telah memusnahkan ‘jaringan kehidupan’ yang kita perlukan untuk bekalan makanan, air, udara bersih dan seumpamanya.
“Kita perlu menterjemahkan aspirasi menjadi reality,” titah baginda menerusi kenyataan media, hari ini.
Baginda bertitah, apabila laporan tentang kemusnahan Tasik Chini dibangkitkan pada tahun lalu, baginda telah turun padang melawat lokasi dan menyaksikan sendiri keadaan yang berlaku.
Lantaran itu, baginda telah menitahkan agar Hutan Simpan Chini diperluas untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak terus terancam.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur telah pun selesai mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini tersebut pada 5 Ogos 2021, daripada dahulunya 4,600 hektar kepada kini 6,502.8 hektar.
“Peluasan Hutan Simpan Chini secara langsung dapat melindungi flora dan fauna di Tasik Chini serta kawasan di sekitarnya.
“Tasik Chini ialah permata alam di Pahang dan merupakan tapak Rizab Biosfera UNESCO (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation) yang pertama di Malaysia. Keunikannya yang bernilai tinggi dan bertaraf dunia perlu dipelihara dan dipulihara,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda juga bertitah, sebagai negara anggota, Malaysia mesti melibatkan diri secara aktif dengan menyertai dialog antarabangsa di mana dua acara utama berkaitan dengan alam sekitar akan berlangsung pada tahun ini iaitu pertama, mesyuarat tahunan ke-27 Conference of Parties on Climate Change (COP27) di Mesir dan kedua, mesyuarat dua tahun sekali UN Biodiversity Treaty (COP15) di China.
Baginda bertitah rakyat di negara ini perlu menyokong kebanyakan komitmen yang dipersetujui tetapi perlu juga bersifat realistik. Sebagai contoh, Malaysia perlu mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Titah baginda, aspirasi ini penting dan terpuji, namun pada masa yang sama rakyat perlu menyedari bahawa langkah memansuhkan subsidi bahan api fosil akan memberikan impak besar kepada warga Malaysia.
“Pengurangan penggunaan tenaga sedikit sebanyak akan melumpuhkan dan menjejaskan ekonomi negara.
“Maka, kita perlu mendidik masyarakat tentang penjimatan tenaga dengan pelbagai cara seperti mengurangkan penggunaan pendingin hawa atau menggunakan tenaga dengan lebih efisien,” titah baginda.
Baginda juga bersyukur kerana kebanyakan negara termasuk Malaysia sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membangunkan pelan bagi mengurangkan kemusnahan biodiversiti.
Titah baginda, ketika ini, lebih satu juta spesies haiwan dan tumbuhan sedang mengalami ancaman kepupusan.
Sehubungan dengan itu titah baginda, satu pelan yang berwawasan besar, iaitu Global Biodiversity Framework Pasca 2020 sedang dirunding dalam Convention on Biological Diversity untuk diluluskan pada COP15.
“Teras pelan tersebut ialah cadangan berasaskan kajian sains bagi memperuntukkan 30 peratus keluasan tanah dan perairan dunia sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan.
“Malaysia perlu turut serta bagi menjayakan sasaran unggul ini seterusnya menyerlahkan kebersamaan dengan seluruh warga dunia menangani isu ini, apatah lagi negara kita adalah salah sebuah daripada 17 buah negara megadiversiti di dunia yang diiktiraf kerana kaya dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna.
“Kita perlu berusaha untuk memastikan kawasan daratan dan perairan yang boleh diwartakan bagi tujuan perlindungan dan pemuliharaan untuk mencapai sasaran global penting tersebut,” titah baginda. -PAHANGMEDIA