Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 JUN 2022 : Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang) mensasarkan kutipan lima pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada 29 September depan di Kuala Lumpur.
Yang Dipertua Pesaka Pahang, YB. Dato’ Md Suhaimi Mohamed Shah berkata sasaran emas berkenaan melibatkan 32 kategori yang disertai pesilat dari negeri ini.
“…target Pahang pada kali ini adalah lima pingat emas, 18 daripada silat olahraga dan silat seni 14 kategori. Target ini kita kira maintain daripada sebelum ini.
“Jadi kita akan pastikan sedaya upaya kita untuk mencapai sasaran ini, kerana pada SUKMA lepas pada 2018, kita dapat enam emas bagi silat.
“Dan kita ada latihan pusat di Temerloh dan kita juga sentiasa melakukan perlawanan bersahabatan bersama negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Santapan Amal Diraja Pesaka Pahang dan Anugerah Selempang Pendekar Guru-Guru Silat Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata Pesaka Pahang juga akan mempertaruhkan muka baharu bagi barisan pesilat dalam temasya yang berlangsung selama 10 hari ini
“Pada temasya kali ini, Pesaka Pahang mempertaruhkan sebahagian besar pesilat muda dan kami percaya sasaran tersebut akan dicapai walaupun ini kali pertama mereka menyertainya.
“Dan hanya dua pesilat yang pernah beraksi pada SUKMA 2018 kekal bersama skuad manakala 30 pesilat lain adalah atlet muda yang diharap mampu memberi saingan dan membawa pulang pingat,” katanya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke majlis berkenaan dan turut menyampaikan Anugerah Selempang kepada seramai 38 guru persilatan daripada 125 persatuan silat di Pahang.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain. -PAHANGMEDIA