YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022) Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur anjuran Kerajaan Pahang bersama Bank Rakyat di Taman Bandar, Indera Mahkota di Kuantan, pagi tadi.

SUMBANGAN PROGRAM ANAK KEBANGGAAN PAHANG NAIK RM100 BERMULA TAHUN DEPAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 2 JUN 2022 : Kerajaan Pahang bersetuju menaikkan jumlah sumbangan bagi Program Anak Kebanggaan Pahang 2023 (Pahang Pride Kid 2023) sebanyak RM100 menjadikan jumlah sumbangan RM300 bermula tahun depan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut dinaikkan bagi menggalakkan kadar kelahiran di negeri ini yang masih rendah.

“Inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pertambahan penduduk di negeri Pahang kerana ketika ini kita hanya ada 1.67 juta penduduk sahaja walhal kita negeri yang paling besar tetapi penduduknya sangat sikit.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama bayi yang turut Pahang Pride Kid pada Majlis Pelancaran Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022) Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur anjuran Kerajaan Pahang bersama Bank Rakyat di Taman Bandar, Indera Mahkota di Kuantan, pagi tadi.

“Mengikut rekod pada tahun lepas hanya ada 25,000 bayi sahaja yang dilahirkan pada tahun 2021 jadi pada tahun ini kita harap ada peningkatan tetapi melihat kepada angka yang ada pada saya, kadarnya masih lagi rendah jadi untuk itu saya telah mengumumkan supaya pada tahun depan kita akan menambah inisiatif daripada RM200 kepada RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022) Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur anjuran Kerajaan Pahang bersama Bank Rakyat di Taman Bandar, Indera Mahkota di Kuantan, pagi tadi.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, Ketua Pengarah LPPKN Malaysia, Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pengerusi Bank Rakyat, YH. Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, seramai 150 ibu dan bayi telah menerima sumbangan RM200 daripada Kerajaan Pahang menerusi program tersebut selain sumbangan peribadi daripada YAB Menteri Besar Pahang sendiri berjumlah RM7,500 kepada semua bayi yang hadir majlis terbabit.

Sehingga April 2022, Pahang mencatatkan sebanyak 6,676 kelahiran dengan Kuantan merekodkan kelahiran tertinggi iaitu 2,413 manakala daerah Temerloh dengan 680 kelahiran diikuti Pekan dengan 577 kelahiran. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram