Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 01 JUN 2022 : Sidang Belia Dewan Negeri Pahang dapat menjadi medan latihan bagi mengetengahkan lebih ramai pemimpin daripada golongan muda.
Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pahang yang juga Mantan Pemimpin Belia Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, ia dapat dijalankan melalui latihan dan proses berterusan.
“Pengiktirafan dan pendanaan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada pertubuhan-pertubuhan anak muda dengan disinergikan melalui latihan dan proses pengkaderan berterusan akan memastikan Pahang akan terus dinamik.

“Selaras dgn tagline Pahang1st dan MajuTerusPahang terus diindoktrinisasi dalam pemikiran generasi muda seawal di sekolah menengah,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, Negeri Pahang juga dilihat lebih terkehadapan dalam memberi peluang dan ruang kepada generasi muda dalam melontarkan pandagan dan pendapat melalui saluran yang disediakan.
“Hakikatnya Negeri Pahang lebih terkehadapan dalam memberikan peluang dan ruang kepada generasi muda melalui rekayasa sosial sebegini dan tentunya lebih menggembirakan bila mana YAB Menteri Besar mengumumkan peruntukan khas RM5,000 kepada setiap ADN (Ahli Dewan Negeri) Belia (diselaraskan bersama YB Kawasan) serta pengwujudan entiti Alumni ADN Belia.
“Ini merupakan proses pengkaderan dan regenerasi berkesan dalam penyediaan platform kepada generasi muda terutamanya bila berdepan dengan pengundi muda 18 tahun,” katanya.
Sidang Dewan Belia Pahang yang berlangsung selama dua hari bermula 30 Mei merupakan persidangan kali ke-2 dijalankan di negeri ini setelah pertama kali diadakan pada 2020. – PAHANGMEDIA