Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 1 JUN 2022 : Pulau Tioman akan diliputi sepenuhnya dengan rangkaian gentian optik yang dijangka siap pertengahan tahun 2023 ini selepas pelaksanaan projek gentian optik Kampung Mukut yang akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
Antara Inisiatif terkini yang sedang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Kerajaan Pahang dan Syarikat Telco ialah pemasangan rangkaian gentian optik dari Kampung Genting yang akan disambung terus ke Kampung Mukut.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, dengan siapnya semua inisiatif ini, perkhidmatan komunikasi tanpa wayar di Kampung Mukut, Kampung Genting dan Kampung Sarang Burung akan bertambah baik.

“Maka perkhidmatan internet talian tetap yang berkelajuan tinggi mampu diberikan sekaligus membawa impak positif dalam kemajuan sosio ekonomi masyarakat kampung pulau tersebut.
“Pada masa ini semua lima kampung utama di Pulau Tioman telah berjaya di rangkaikan dengan gentian optik. Melalui kemudahan ini, perkhidmatan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi kini tersedia dan boleh dilanggan oleh penduduk serta pengusaha iaitu di Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Air Batang, Kampung Salang dan Kampung Genting.
“Ia bakal menjadikan Pulau Tioman antara pulau yang mempunyai liputan komunikasi yang terbaik dalam negara apabila semua kerja-kerja ini siap tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.

Katanya, projek rangkaian gentian optik di Pulau Tioman ini bermula sejak September 2021 dan sebahagian besar usaha ini telah siap dan mencapai kejayaan.
“Kesemua usaha ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan pelan JENDELA yang sedang giat dilaksanakan diseluruh negeri Pahang.
“Dibawah pelaksanaan JENDELA Rompin, sebanyak 32 menara baharu dibina dan 121 stesen pemancar dinaiktaraf kepada 4G termasuk di pedalaman dan perkampungan Orang Asli,” katanya. – PAHANGMEDIA