Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
PREMIS MAKANAN BUKAN ISLAM DIBENAR OPERASI 7 PAGI HINGGA 7 PETANG
KUANTAN, 24 APRIL 2020: Kerajaan Negeri Pahang memutuskan agar kebenaran diberikan kepada premis-premis makanan bukan Islam untuk beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 petang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bulan Ramadan.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu sebagai tindak balas kepada aduan pihak-pihak berkenaan khususnya peniaga-peniaga premis makanan bukan Islam, mengenai ketetapan waktu operasi antara jam 12 tengah hari hingga 7 petang oleh sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas semua premis makanan dalam bulan puasa ini.
Menurutnya, sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin dan responsif terhadap apa juga perkara yang diadukan kepadanya oleh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan kerjaya, maka keputusan ini dianggap tepat dan munasabah.
“Dengan keputusan ini saya berharap, para peniaga premis makanan bukan Islam dapat menerimanya dengan baik serta meneruskan perniagaan tetapi masih terus akur kepada yang telah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, antara ketetapan itu ialah premis makanan ini ialah yang berada di bangunan lot kedai (shoplots) dan menjual secara bawa pulang (take away) , pandu lalu (drive thru) dan ‘cash on delivery’ (COD).
“Sepertimana keputusan hari ini serta ketetapan-ketetapan yang telah dibuat sebelumnya, matlamat utama ialah untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19 agar masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan kadar segera,” katanya.- PAHANGMEDIA